Wednesday, August 25, 2010

Tahniah Kepada Kerajaan Persekutuan.




Assalamualaikum. Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan Datuk Seri Najib kerana akhirnya mendengar keluhan kakitangan kerajaan yang agak terbeban dengan pelbagai kenaikan kos hidup hari ini akibat dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan. Tahniah kerana mampu memahami keperitan rakyat, tidak kira sama ada pemberian bonus itu berdasarkan keinsafan dan keikhlasan untuk membantu rakyat atau dek kerana rasa malu terhadap kerajaan Pakatan Rakyat khususnya Pulau Pinang yang dilihat lebih prihatin dan dikatakan lebih mementingkan kebajikan rakyatnya. Saya harap pemberian bonus sempena Aidil Fitri itu tidak berhenti setakat itu sahaja. Pemberian bonus 2 bulan gaji sebagaimana yang dituntut oleh Cuepacs seharusnya diberikan perhatian. Tuntutan Cuepacs memang berasas kerana pertubuhan yang menjadi lidah kepada seluruh warga kakitangan awam hari ini sememangnya memahami keperitan yang ditanggung oleh kakitangan kerajaan ekoran kenaikan minyak yang telah memberikan impak yang besar kepada mereka yang sekali gus telah meningkatkan kos hidup rakyat seluruhnya.
Kalau Najib tidak berdaya meringankan bebanan rakyat hari ini termasuk kakitangan kerajaan, dijangkakan bahawa kekalahan yang teruk bekal BN hadapi dalam pilihan raya umum Ke-13 kelak. Sebagaimana yang pernah saya sebutkan dahulu bahawa kakitangan kerajaan mempunyai pengaruh yang besar dalam mengubah pandangan masyarakat keseluruhannya terhadap kerajaan. Seorang kakitangan kerajaan yang pasif dan kurang berinteraksi dengan orang lain masih boleh mempengaruhi 5 atau 6 orang ahli keluarganya. Ini termasuklah isteri, anak-anak, keluarga sebelah isteri termasuk juga ibu bapanya. Bayangkanlah jika kakitangan kerajaan itu seorang yang mudah bergaul dengan masyarakat bawahan sudah pasti pengaruh dan pandangannya merangkumi jumlah rakyat yang lebih besar. Tambahan pula mereka ini adalah golongan yang celik maklumat. Oleh kerana itu, ahli-ahli politik tidak seharusnya memandang rendah terhadap peranan kakitangan kerajaan dalam menentukan hala tuju politik mereka. Dan oleh kerana itu juga, keluhan kakitangan kerajaan agar gaji mereka dinaikkan, perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya daripada kerajaan hari ini jika mereka ingin terus kekal berkuasa.
Saya pernah melihat reaksi dan respons kakitangan kerajaan apabila gaji, elaun dan kemudahan-kemudahan yang dinikmati oleh seorang menteri di Malaysia dipaparkan atau dimaklumkan kepada mereka. Betapa mereka merasa diperalatkan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan hari ini khususnuya mereka yang berada di tampuk kerajaan. Mereka bekerja keras untuk menyara diri dan keluarga tetapi dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin dilihat hidup bermewah-mewah dan tidak menghiraukan keperitan hidup mereka. Menteri menikmati segala kemudahan secara percuma. Bil air, elektrik, minyak, sewaan, kos sambutan perayaan, perubatan dan sebagainya dinikmati secara percuma. Tetapi rakyat biasa dan kakitangan kerajaan terpaksa berhempas pulas mencari wang dan rezeki untuk membayar semua kemudahan tersebut. Sudahlah semua kemudahan itu perlu dibayar, gaji mereka pula terlalu kecil dan tidak lagi sesuai dengan kos hidup pada hari ini. Oleh kerana itu saya amat bersetuju jika kerajaan Najib hari ini menaikkan gaji kakitangan kerajaan agar bebanan mereka dapat diringankan. Pak Lah pada awal pentadbirannya telah menikkan gaji kakitangan kerajaan dan hal ini telah melonjakkan sokongan rakyat secara keseluruhannya kepada mereka. Namun sokongan itu tidak berpanjangan bila Pak Lah menaikkan pula harga minyak secara mendadak. Kenaikan harga minyak itu telah menyebabkan kenaikan harga barang dan kos perkhidmatan.
Dari segi teorinya memanglah kenaikan gaji kakitangan kerajaan yang telah diberikan itu tidak memberi apa-apa makna kepada kakitangan kerajaan kerana kuasa beli mereka merosot. Bila kuasa beli mereka merosot, sudah pastilah mereka menabung dan kurang membeli-belah dan akibatnya kegelisahan kakitangan itu melebar pula kepada peniaga-peniaga yang mendapati barangan mereka tidak lagi laku. Keuntungan perniagaan merosot. Putaran ekonomi setempat menjadi perlahan. Inilah sebenarnya ke;lemahan besar yang dilakukan oleh Pak Lah.
Oleh kerana itu saya harap Perdana Menteri 1 Malaysia hari ini tidak mengikut jejak Pak Lah. Beliau sewajarnya menikkan gaji kakitangan kerajaan agar beban hidup mereka dapat diringankan dan dalam masa yang sama kitaran ekonomi setempat lebih rancak kerana kakitangan kerajaan inilah yang biasanya yang membeli-belah dan merancakkan ekonomi sesuatu tempat. Projek-projek mewah sewajarnya dikurangkan kerana mereka yang menerima keuntungan hanya segelintir sahaja dan ini tidak membantu merancakkan kitaran urusniaga setempat. Gaji kakitangan kerajaan naik bermakna peniaga-peniaga juga akan mendapat kesan positif. Orang kampung yang bergantug hidup kepada hasil pertanian juga mendapat kesan kerana pasaran produk mereka mendapat sambutan.

Wednesday, August 18, 2010

Tahniah Kerajaan Pulau Pinang


Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pulau Pinang yang diterajui Lim Guan Eng kerana lebih ke hadapan apabila memberikan bonus raya kepada kakitangan kerajaannya sebelum sambutan hari raya tahun ini.

Sekalipun diburuk-burukkan oleh media dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional, Lim tetap dengan dasar-dasar pakatan rakyat yang lebih mengutamakan kebajikan rakyat. Kita harap tindakan Lim ini akan menjadi ikutan kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Sebagai rakyat yang prihatin terhadap kakitangan kerajaan, saya juga berharap kerajaan persekutuan mengambil langkah yang sama untuk meringankan beban kakitangan kerajaan sempena sambutan Aidil Fitri tahun ini. Jangan menjadikan alasan kewangan kerajaan yang tenat untuk mengelakkan daripada memberikan bonus kepada kakitangan kerajaan yang jelas terbeban dengan dasar kerajaan hari ini. Banyak kakitangan kerajaan yang diam dan menyepi tetapi dalam masa yang sama harapan mereka untuk mendapatkan bonus amat tinggi. Keceluparan Khairy Jamaluddin semasa era Pak Lah yang menyatakan bahawa kakitangan kerajaan tidak penting, telah menyebabkan sokongan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional merosot. Tindakan Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada kakitangan kerajaan dibalas dengan kekalahan kerajaan Barisan Nasional di Selangor. Begitulah kuatnya pengaruh sokongan kakitangan kerajaan untuk menentukan nasib pemimpin-pemimpin politik.
Dalam era kerajaan Najib hari ini, bonus yang paling tinggi diberikan ialah RM500 sahaja. Itu pun dibayar dua kali. Betapa kedekutnya kerajaan beliau dengan pemberian bonus yang begitu kecil berbanding kenaikan harga barang dan kos hidup hari ini. Tidakkah ini memalukan mereka? Kerajaan Pulau Pinang yang baru ditadbir beberapa tahun oleh Pakatan Rakyat, sudah mampu memberikan bonus kepada kakitangannya. Ini mencerminkan bahawa pengurusan kewangan Kerajaan Pakatan Rakyat khususnya di Pulau Pinang lebih baik dan berkesan berbanding sebelumnya.
Oleh kerana itu Perdana Menteri harus menunjukkan teladan yang baik kepada Pakatan Rakyat dalam hal-hal menjaga kebajikan rakyat. Dan bukan sebaliknya. Ini kerana dari segi usia mentadbir negara dan negeri, kerajaan Barisan Nasional memang berpengalaman namun mengapa dari segi kewangan pengurusan mereka tidak berkesan. Apakah yang lebih utama bagi seorang pemimpin? Bukankah rakyatnya? Adanya rakyat maka adalah negara, adanya rakyat maka lahirlah pemimpin. Ini bermakna keutamaan pemimpin sepatutnya adalah kebajikan rakyatnya lebih-lebih lagi kakitangan kerajaan adalah golongan yang menggerakkan pentadbiran negara. Bagaimana mereka menjadi produktif jika mereka terus dibebani dengan perbelanjaan yang terus meningkat? Jika beban mereka meningkat maka jalan penyelesaiannya ialah mencari sumber luar. Maka terabailah tugas mereka. Maka berleluasalah juga amalan rasuah dan pecah amanah. Oleh kerana itu tidak hairanlah jika gejala rasuah terus meningkat dalam kalangan kakitangan kerajaan. Dahlah mereka dipaksa bekerja keras, gaji yang ditawarkan tidak sesuai dengan kos hidup masa kini. Gaji mereka masih ditakuk lama, sebaliknya menteri dan pemimpin terus hidup bermewah-mewah dan menikmati pelbagai kemudahan secara percuma. Inilah realiti kehidupan rakyat di bawah kekuasaan kerajaan Barisan Nasional.

Antara Najib Dan Pak Lah Siapa Yang Lebih disukai Rakyat? (Sambungan)



Kalau Pak Lah muncul sebagai perdana menteri dengan reputasi yang bersih, sehingga mendapat jolokan sebagai MR. CLEAN, Najib pula dikaitkan dengan pelbagai isu berat sebelum menjadi perdana menteri. Namun kerana beberapa perkara yang dilakukan oleh Najib kepada warga Felda semasa menjadi timbalan perdana menteri, ramai yang berpendapat bahawa Najib akan lebih mesra rakyat berbanding Pak Lah. Namun jangkaan itu meleset sama sekali. Rupa-rupanya indah khabar dari rupa. Najib dilihat cuma berpura-pura prihatin terhadap rakyat. Tindakan beliau yang selalu turun ke padang bersama rakyat rupa-rupanya tidak lebih dari kepura-puraan, semata-mata untuk menarik sokongan rakyat. Hakikatnya, sepanjang beliau menjadi perdana menteri, belum ada satu perkara pun yang mampu mengembirakan seluruh rakyat. Ketika Pak Lah melepaskan jawatan sebagai PM, rakyat masih panas dan benci dengan kerajaan kerana menaikkan harga minyak secara mendadak. Jangkaan rakyat setelah Najib turun, kemungkinan harga itu akan turun dan tidak membebankan rakyat seperti mana dalam zaman Mahathir dahulu.
Pada zaman Mahathir, walaupun beliau amat dibenci oleh sesetengah pihak khususnya pemimpin-pemimpin pembangkang, namun rakyat terus menyokong beliau kerana rakyat tidak kesempitan hidup. Hidup rakyat tidak dibebankan dengan kos kenaikan harga barang. Seingat saya harga minyak dinaikkan sekitar 3 sen hingga 30 sen. Tetapi kenaikkan itu tidak sampai menjadikan rakyat terbeban dan mengeluh. Hari ini, rakyat amat terbeban dan tertekan. Kos hidup rakyat meningkat. Banyak pihak yang cuba memberikan pandangan tentangan kenaikan ini tetapi nampaknya Najib tetap memekakkan telinga. Dahlah kos hidup meningkat sejak pentadbiran Pak Lah, jadinya Najib sebagai perdana menteri, maka bertambahlah lagi bebanan rakyat. Bukan mengurangkan harga minyak sebaliknya pentadbiran Najib menaikkan lagi harga minyak dan gula. Rakyat sebenarnya tidak mahu ambil tahu dan tidak kisah siapa pun mentadbir negara, pokoknya hidup mereka perlu selesa, bukan terbeban dan dibebankan lagi.
Selain rakyat berpendapatan rendah; petani, peniaga kecil-kecilan, kumpulan sokongan bahkan mereka yang bergelar di gred A khususnya dg41 dan dg44 yang kononnya bergaji ribuan ringgit turut mengeluh dan resah dalam zaman Najib Razak ini. Ternyata kemunculan Najib sebagai Perdana Menteri hanya menambahkan kebencian yang meluap-luap rakyat terhadap kerajaan BN. Beliau bukan sahaja tidak prihatin terhadap kakitangan kerajaan bahkan dilabelkan sebagai pemimpin yang hipokrit. Cakap lain buat lain. Cakap rakyat didahulukan, tetapi hakikatnya rakyat dahululah yang menderita akibta dasar beliau.
Kebencian rakyat terhadap sikap beliau ditambah lagi dengan kekejaman dan keagrsifnya terhadap pelbagai pihak yang dilihat menjadi seterunya, khususnya pemimpin-pemimpin pembangkang. Bahkan Najib dilihat lebih sibuk menekan dan menindas pemimpin pembangkang berbanding mentadbir negara. Agensi-agensi kerajaan seperti PDRM, SPRM, SPR semakin agresif dan diperalatkan secara total oleh kerajaan Najib untuk menekan rakyat yang bangun menentang pelbagai dasar kerajaan. Lihatlah bagaimana jatuhnya kerajaan Perak dan kejatuhan itu tidak lebih daripada cerminan kekejaman dan zalimnya kerajaan persekutuan Najib. Oleh kerana itu, saya fikir Pak Lah masih ada ruang untuk memenangi hati rakyat andainya dia diberikan ruang untuk terus menjadi perdana menteri, tetapi Najib dikatakan tidak ada lagi ruang untuk meraih sokongan rakyat untuk memenangi PRU ke-13 melainkan dengan taktik kotor dan keji dengan bantuan SPR.
Kerajaan Najib juga dilihat terlalu mementingkan golongan korparat berbanding rakyat. Subsidi rakyat miskin ditarik sebaliknya subsidi golongan kaya terus diberi. Apa yang jelas terlalu banyak kepura-puraan dalam pentadbiran Najib Razak ini. Menteri serta barisan kabinetnya tidak ikhlas membantu rakyat jelata. Kakitangan awam sering merayu memohon bonus tahunan tetapi jangan mimpi. Perdana menteri 1 Malaysia tidak mungkin akan melayan tuntutan itu. Tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat khususnya kerajaan Pulau Pinang yang bercadang memberikan bonus raya kepada kakitangan kerajaannya. Tahniah.

Tuesday, August 17, 2010

Antara Najib Dan Pak Lah Siapa Yang Disukai Rakyat?




Antara Najib dan Pak Lah siapa yang lebih disukai oleh rakyat? Melihat gambar Najib dan penampilannya di khalayak umum yang sentiasa terersenyum, mungkin boleh kita katakan bahawa Najib adalah pemimpin yang lebih mesra dan lebih mudah didekati rakyat. Begitulah telahan awal jika kita tidak mengenal Perdana Menteri Satu Malaysia ini. Pak Lah pula nampak lebih serius dan seakan-akan sukar didekati rakyat. Bahkan senyuman bekas Perdana Menteri Islam Hadhari ini tidak manis dan gagal mempesonakan hati rakyat.

Namun begitu dari segi pentadbiran dan pendekatan mentadbir negara, nampaknya Pak Lah mendahului Najib. Pada peringkat awal kekuasaannya, Pak Lah telah menggembirakan seluruh kakitangan kerajaan dengan menaikkan gaji mereka 10%. Ini ditambah dengan kenaikan elaun khidmat awam. Kecerian kakitangan kerajaan itu juga bertambah dengan pengurangan potongan KWSP dari 11% kepada 9 %. Selain kakitangan kerajaan, kontraktor juga berasa ceria dengan adanya sistem cabutan yang diperkenalkan dalam zaman Pak Lah. Maka kuasa beli kakitangan kerajaan bertambah dan pastinya hidup mereka bertambah selesa. Maka merasalah juga kontraktor-kontraktor yang sukar mendapatkan projek sebelum ini. Begitulah betapa manisnya kehidupan pada waktu itu, meskipun Pak Lah tidak boleh menyaingi kehebatan Tun Mahathir dalam mendahulukan rakyat namun pada awal pentadbirannya, rakyat amat menyukai beliau. Bahkan pilihan raya ke-11 memperlihatkan kepercayaan rakyat kepada Pak Lah bila mana BN mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya tersebut.
Pak Lah seorang pemimpin yang prihatin dan menyayangi rakyatnya. Begitulah tanggapan awal rakyat. Pendekatan beliau yang lembut dan berhemah amat disukai bukan sahaja oleh rakyat bahkan pemimpin-pemimpin pembangkang. Namun keadaan itu tidak berpanjangan apabila pelbagai tuduhan dan kecaman dilemparkan kepada beliau. Kelembutan beliau diambil kesempatan oleh musuh-musuh politiknya. Saya fikir pemimpin-pemimpin UMNO juga tidak ikhlas untuk memberikan pandangan dan bantuan kepada beliau. Pak Lah nampak bersendirian dalam zaman kegelapan pentadbirannya. Pelbagai isu ditimbulkan sama ada oleh pihak pembangkang mahupun ahli-ahli UMNO sendiri untuk menjatuhkan beliau. Antaranya beliau dikatakan menyerahkan kepada ahli-ahli di tingkat 4 Putera Jaya untuk membuat keputusan khususnya yang berkaitan dengan dasar dan pentadbiran negara. Dan perkara ini pula diperbesar-besarkan oleh beberapa pihak khususnya mereka yang menjadi seteru politik beliau khususnya dalam parti UMNO itu sendiri. Pengaruh tingkat 4 dan keadaan ekonomi yang tidak stabil menyebabkan kepimpinan Pak Lah mula goyah. Dasar yang beliau bawa mula berubah-ubah. Nampak sangat seakan-akan beliau tiada keyakinan diri. Sekejap itu sekejap ini, dan akhirnya kebencian rakyat kepada beliau membuak-buak apabila beliau tersilap langkah menaikkan harga minyak secara mendadak. Keadaan pada waktu itu amat panas. Rakyat sangat marah kerana kenaikan harga minyak itu telah menyebabkan kenaikan harga barang antara 20-30% sedangkan kuasa beli rakyat masih ditakuk lama. Dan natijahnya, sokongan rakyat terhadap beliau dan BN merosot dalam pilihan raya ke-12. Maka hilanglah majoriti 2/3 Barisan Nasional di Parlimen. Dalam keadaan demikianlah Najib dan pengikutnya mendesak agar Pak Lah melepaskan jawatan.
Tambahan pula susuk Anwar Ibrahim sudah bebas dari hukuman penjara maka tercatatlah lagi era baru poltik tanah air. Kehadiran Anwar Ibrahim, pemimpin yang mempunyai karisma yang sukar dipertikaikan telah menjadi ancaman kepada kepimpinan Pak Lah, UMNO dan Barisan Nasional. Hujah-hujah yang diketengahkan Anwar untuk mentadbir negara dan meringankan beban rakyat ekoran krisis ekonomi dunia telah memikat hati rakyat jelata. Kehadiran semula Anwar Ibrahim dalam politik tanah air menjadi salah satu faktor yang memperkasa keutuhan ikatan Dap, Pas dan PKR. Kerjasama yang dijalinkan bertambah kukuh dan mantap. Keadaan ini menyebabkan pemimpin-pemimpin UMNO bertambah resah dan gelisah. Kelembutan Pak Lah terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang tidak mereka senangi. Pak Lah yang masih terkejut dengan keputusan pilihan raya 2008 hilang keyakinan diri dan akur kepada tuntutan kumpulan Najib dan Muhyiddin. Maka akhirnya turunlah Pak Lah. Bahkan mereka yang berikrar akan mencalonkan Pak Lah sebagai presiden UMNO dalam pemilihan UMNO yang lalu berpaling tadah dan memberikan sokongan mereka kepada Najib. KJ yang lantang bersuara tentang sesuatu isu tidak dapat membantu beliau bahkan KJ menjadi liabiliti kepadanya. Kerana KJ juga beliau dijauhi oleh pemimpin-pemimpin UMNO lain. Pak Lah mereka khianati. Begitulah rupa dan bentuk "kesetiaan" orang politik. Setia kepada individu itu bila dia berkuasa tetapi sebaliknya jika kuasa hilang maka kesetiaan itu pun akan hilang juga. Kasihan Pak Lah. Satu-satunya pemimpin UMNO yang tidak pernah menghulurkan gula-gula kepada perwakilan untuk mengundinya. Pak Lah dalam kekuasaannya sentiasa dikelilingi oleh mereka yang sedia menunggu peluang untuk menjatuhkannya. Dan oleh kerana itu beliau sukar membuat keputusan yang terbaik untuk mentadbir negara walaupun di kelilingi pemimpin-pemimpin utama UMNO.

Sunday, August 15, 2010

Pilihan Raya Tahun Depan? (Sambungan)



Keikhlasan pemimpin Pakatan Rakyat mentadbir negeri yang dimenangi serta membantu rakyatnya terus mengukuhkan keyakinan rakyat bahawa Pakatan Rakyat lebih baik berbanding BN. Justeru, media massa arus perdana yang terus memburuk-burukkan pemimpin Pakatan Rakyat tidak mendatangkan kesan kepada rakyat, sebaliknya rakyat membenci dan menjauhi akhbar itu.

Mengikut sumber-sumber tertentu ada desas desus yang mengatakan bahawa kemungkinan pilihan raya dewan undangan negeri diadakan serentak di seluruh negara tahun depan. Serentak dengan pilihan raya Sarawak. Ini cuma berita angin. Cadangan itu memang baik. Saya setuju kalau pilihan raya dewan undangan negeri dan parlimen diadakan secara berasingan. Pilihan raya yang kerap menguntungkan rakyat. Banyak prasarana yang dibina dan diperbaiki. Banyak peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan BN. Sebagai rakyat biasa saya memang mengalu-alukan keputusan ini.


Persoalannya, mengapa pilihan raya itu tidak serentak dengan pilihan raya parlimen? Jawabnya pasti ada udang disebalik batu. Pemimpin UMNO dan BN sedar bahawa mereka sudah ditolak rakyat, jika pilihan raya yang telus dan bersih diadakan mereka pasti bahawa hayat parti mereka akan berakhir, oleh itu sesuatu perlu dilakukan agar mereka terus kekal berkuasa. Saya fikir BN takut menghadapi saat-saat kejatuhan mereka secara total. Pilihan raya secara berasingan begini membolehkan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN belajar dan menilai sokongan rakyat terhadap mereka. Dalam keadaan mereka masih memegang kuasa di peringkat persekutuan, mereka masih boleh melakukan pelbagai kaedah dengan bantuan SPR, PDRM dan SPRM untuk merempas kerajaan negeri. Adun-adun Pakatan Rakyat yang menang dan tamak masih boleh dibeli, ditawarkan pelbagai jawatan, kerana sumber kewangan di peringkat persekutuan masih mereka kuasai. Bila ada wang macam-macam boleh dilakukan.

Begitulah kesimpulan yang boleh saya buat berdasarkan pandangan dan perbualan beberapa politikus di kedai-kedai kopi. Mungkin ada benarnya pandangan demikian, jika kita bandingkan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN di Perak. Sekali pun rakyat marah dengan perbuatan itu namun maklumlah Melayu mudah lupa. Lima tahun sejuklah ia. Macam-macam gula-gula diberikan kepada mereka, maka sejuklah hati rakyat. Inilah mungkin yang menjadi strategi pemimpin-pemimpin UMNO dan BN.

Pemimpin UMNO dan BN sebenarnya sudah lama sedar bahawa mereka sudah ditolak rakyat, namun mereka tidak gusar sedikit pun kerana mereka masih ada SPRM, SPR, PDRM dan badan kehakiman yang boleh menyelamatkan kuasa mereka. Kerajaan PBS di Sabah dalam era 80-an dahulu adalah kerajaan yang terbentuk kerana perasaan tidak puas hati terhadap ketidakadilan kerajaan persekutuan terhadap rakyat Sabah. Kerajaan tersebut terbentuk dengan perasaan benci yang membuak-buak terhadap kerejaan persekutuan. Tetapi hari ini, rakyat Sabah adalah antara penyokong kuat kerajaan BN , kerajaan yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Pemimpin-pemimpin UMNO yang dibenci suatu ketika dahulu. Mengapa ini berlaku? Sudah pastilah bumiputera juga mudah lupa sperti mana Melayu mudah lupa. Setelah pemimpin-pemimpin BN bertungkus lumus mentadbir Sabah dalam keadaan dana yang tidak mencukupi kerana bantuan kewangan persekutuan disalurkan kepada JPPS, maka akhirnya pemimpin-pemimpin Sabah termakan juga dengan pujukan pemimpin-pemimpin pusat agar berpihak kepada mereka. Oleh kerana itu pemimpin-pemimpin tamak PBS berlumba-lumba menubuhkan parti baru untuk menyertai BN, maka tertubuhlah parti SAPP, UPKO dan PBRS. Setelah menyertai BN, pemimpin-pemimpin ini menjadi kaya raya dan lupa diri termasuklah parti PBS yang suatu ketika dahulu memperjuangkan Sabah For Sabahan. Gula-gula dan umpan yang ditaburkan kerajaan persekutuan telah berjaya meredahkan kebencian mereka terhadap kerajaan persekutuan yang diterajui Mahathir Mohammad. Inilah mungkin strategi yang difikirkan oleh UMNO dan pemimpin BN untuk mengekalkan kuasa mereka.

Sebagai rakyat biasa yang inginkan perubahan dan cintakan pemimpin yang jujur, telus, beramanah dan ikhlas, saya harap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat lebih berhati-hati ketika memilih calon. Pakatan Rakyat juga perlu berhati-hati dengan pelbagai perangkap yang diatur oleh kerajaan BN. Mereka perlu bersatu hati menentang kezaliman BN. Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sewajarnya membantu Anwar Ibrahim menghadapi konspirasi liwat yang dihadapnya. Percayalah bahawa pilihan raya tidak mungkin diadakan selagi susuk Anwar Ibrahim bebas berceramah, bebas perpolitik dan menelurkan pendapat serta mendedahkan pelbagai kebobrokan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin BN dan UMNO. Masuknya Anwar Ibrahim ke penjara Sungai Buluh, bermakna pilihan raya akan diadakan. Kita tunggu dan lihat.

Wallahu alam bisawab.

Thursday, August 12, 2010

Pilihan Raya Tahun Depan?

Berita tentang pilihan raya yang akan diadakan tahun depan bertiup kencang? Kini, di kedai-kedai kopi, di majlis-majlis keramaian atau di mana-mana sahaja desas-desus tentang pilihan raya makin hangat. Apakah memang benar pilihan raya akan diadakan tahun depan? Berdasarkan tanda-tanda yang dapat dilihat memang benarlah telahan sesetengah pihak bahawa kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan tahun depan serentak dengan pilihan raya umum Sarawak .
Tanda-tanda pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat memang jelas kelihatan. Projek di sana-sini, program-program politik rancak diadakan. SB sibuk mengumpulkan maklumat tentang YB-YB dan mereka yang ada potensi untuk menjadi calon dalam pru kelak. Ramalan nombor ekor yang kerap mengadakan special draw juga mengesahkan telahan ini.
Memang sudah menjadi kebiasaan kerajaan BN akan mengadakan pilihan raya awal. BN sejak memerintah negara ini tidak pernah menghabiskan tempoh 5 tahun untuk memerintah sebaliknya mereka mengadakan pilihan raya lebih awal. Namun, dari sudut lain saya fikir tanda-tanda ini hanya permainan politik sahaja. Mungkin pihak kerajaan mahu melihat kekuatan kempen pihak pembangkang dengan meniupkan khabar angin tentang pilihan raya umum. Biasanya pembangkang akan memecut lebih awal, mereka akan berkempen habis-habisan sebelum kerajaan membubarkan parlimen sebaliknya BN dan pakar-pakar politik mereka akan mengkaji pelbagai isu yang dikemukakan oleh pihak pembangkang serta mencari masa yang betul-betul sesuai untuk mengadakan pilihan raya. Dan dalam percaturan serta permainan itu biasanya parti BN akan menang.
Tetapi berdasarkan senario politik hari ini senjata yang kerap digunakan oleh pemerintah ini, saya fikir tidak sesuai lagi. Saya melihat kumpulan pemimpin pembangkang sudah lebih matang. Mereka kelihatan lebih bertoleransi dan boleh duduk semeja untuk membincangkan pelbagai perkara yang menguntungkan mereka. Kejayaan merempas beberapa buah negeri telah mematangkan mereka. Sebaliknya kejayaan itu telah menambahkan keyakinan orang ramai bahawa parti pembangkang pun mampu mentadbir negara bahkan mungkin lebih baik daripada kerajaan yang ada hari ini. Propoganda media arus perdana yang kerap memburuk-burukkan kerajaan pakatan langsung tidak lagi berkesan, sebaliknya media arus perdana terus dijauhi oleh rakyat.

Monday, August 9, 2010

Ada Udang Di Sebalik Batu Bila Kerajaan Membenarkan Guru Berpolitik

Mengapa guru-guru DG41 hingga DG48 boleh berpolitik? Adakah kerana kerajaan akhirnya menyedari bahawa selama ini mereka mula hilang sokongan genarasi muda yang mungkin disebabkan didikan guru-guru yang telah menginsafkan mereka bahawa selama ini berlaku penyelewengan pemimpin-pemimpin kerajaan dalam mengurus tadbir negara? Adakah baru sekarang Najib dan kerajaan BN baru menyedari pentingnya peranan guru dalam mencorakkan hala tuju negara term asuklah pandangan politik masyarakat?
Kalau jawapannya ya, maka saya fikir usaha kerajaan untuk menyambung tali hayat politik mereka melalui guru sudah terlambat. Sudah berjuta-juta rakyat yang dididik oleh guru-guru di seluruh negara yang cintakan keadilan, yang cintakan pemimpin amanah, yang cintakan pemimpin yang ada nilai kemnusiaan dan moral yang tinggi. Mereka sudah bekerja di pelbagai sektor swasta dan kerajaan yang secara tidak langsung anutan dan fahaman mereka bahawa kerajaan yang ada selama lima tahun ini adalah kerajaan yang rasuah, kerajaan yang hanya mementingkan golongan kaya dan kroni. sudah tersebar kepada seluruh lapisan rakyat. Selama ini kerajaan yang tidak mengendahkan kebajikan dan keluhan guru akan menerima padah. Golongan guru adalah golongan intelek, golongan yang selalu berfikir berdasarkan logik dan rasional. Tidak mungkin guru mudah diperdaya dengan pelbagai berita yang berbentuk putar belit dan manipulasi. Kalau pun ada yang dungu, bilangannya tidak ramai. Kalau pun ada yang jumud dan cetek fikirannya jumlahnya tidak banyak. Elaun hidup susah, jawatan guru cemerlang dan pelbagai jawatan yang ditawarkan kepada mereka tidak mampu menjadikan guru-guru negara ini akan tunduk dan patuh kepada kerajaan. Bukan bermakna mereka tidak mengenang budi, tetapi guru adalah contoh rakyat berilmu yang cintakan nilai moral yang tinggi. Mereka adalah insan yang sentiasa menyedari segala yang berlaku di persekitaran. Gula-gula yang ditaburkan kerajaan yang berbentuk jawatan dan elaun tidak mampu mengubah pendirian mereka.

Penglibatan guru DG41 dalam politik sebenarnya sudahpun berlaku, sekalipun kerajaan tidak membenarkannya. Dan biasanya mereka tidakpun dikenakan tindakan, khususnya mereka yang menyokong kerajaan atau UMNO. Guru yang terlibat ini pula sibuk dengan pelbagai projek itu dan ini yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin politik. Guru begini megah dengan pencapaiannya, tetapi mereka inilah biasanya yang kerap mengabaikan tugas. Sebaliknya mereka yang menjadi ahli-ahli parti pembangkang, kerap menjadi guru yang baik, cemerlang dan berkesan, kerana nilai dan tanggungjawab tetap mereka amalkan, sama ada kerana mereka menyedari mereka menyertai parti pembangkang atau kerana mereka menyedari tindakan 'double standard' kerajaan terhadap ahli-ahli parti bukan kerajaan. Mereka inilah biasanya yang akan mendidik murid dengan lebih baik dan kerap memupuk nilai murni dan nilai amanah kepada pelajar mereka. Mereka juga biasanya kerap dipertanggungjawabkan mendidik pelajar yang bijak dan pandai berbanding mereka yang menyertai parti kerajaan.

Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika ramai dalam kalangan generasi muda hari ini khususnya mereka yang memasuki institusi pengajian tinggi lebih cenderung kepada parti pembangkang khususnya Pakatan Rakyat. Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dilihat lebih beramanah, bermoral dan tidak sezalim pemimpin-pemimpin UMNO dan BN.
Sekiranya ramai guru yang menyertai parti-parti pembangkang bermakna kebenaran guru berpolitik yang diberikan oleh kerajaan hari ini hanya akan mempercepatkan kejatuhan UMNO dan Barisan Nasional.

Wallahualam bisawab. Hanya Allah yang lebih mengetahui.