Tuesday, January 25, 2011

Saya Harap Lawak Awang Selamat hanya Sebagai Lawak.

Utusan Online
Sampai bila PRK?


BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

Sekali lagi demam pilihan raya kecil (PRK) melanda negara. Penamaan calon PRK Tenang semalam adalah pemandangan yang sudah begitu kerap dalam politik tanah air.
Ketika kempen PRK Tenang menjadi tumpuan, satu lagi PRK iaitu kawasan DUN Merlimau, Melaka akan menyusul. Kemungkinan DUN Pelabuhan Klang turut menyaksikan PRK juga menjadi tanda tanya.
Jika mengambil kira PRK Merlimau nanti, sebanyak 15 PRK berlangsung sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008. Kebanyakan PRK diadakan ekoran kematian penyandangnya. Ini terpaksa dilakukan bagi memenuhi tuntutan demokrasi di Malaysia. Sama ada suka atau tidak, ia terus mewarnai politik tanah air. Rasanya, tiada negara lain di dunia yang mengalami senario pilihan raya yang begitu kerap sebagaimana Malaysia. Setiap kali pilihan raya, setiap kali suhu politik meningkat. Malah selalu sangat berlaku ketegangan. Ia juga membazirkan banyak wang, tenaga dan masa. Jentera parti-parti yang bertanding terutama dari luar kawasan terpaksa meninggalkan lama keluarga mereka. Ini meliputi wakil-wakil rakyat yang berkampung di kawasan PRK dan tidak dapat menumpukan perhatian di kawasan masing-masing. Pada Awang, ini semua amalan kurang sihat, yang ahli-ahli politik juga sudah terperangkap dalam persekitaran itu. Bagaimana jika selepas ini, lagi banyak PRK diadakan? Kita bukanlah Tuhan untuk menentukan ajal maut seseorang wakil rakyat. Juga tidak memadai untuk kita menasihatkan wakil rakyat menjaga kesihatan dan pemakanan mereka agar hidup lama. Adakalanya tidak meninggal dunia kerana penyakit tetapi maut disebabkan nahas jalan raya selain peletakan jawatan. Maka Awang cadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan perubahan besar dalam soal PRK. Misalnya jika berlaku kematian, kerusi tersebut boleh disandang oleh parti yang menang dengan memilih wakil rakyat ganti tanpa perlu memanggil pilihan raya. Pindaan ini meliputi aspek perarakan parti semasa hari penamaan calon sebagaimana lazim. Ia umpama pesta dan sudah tidak lagi relevan. Awang percaya tentu ada jalan keluar kepada persoalan ini sebelum rakyat ‘bertambah penat’. Sekarang ini pun masyarakat apatah lagi golongan muda tidak teruja dengan PRK. Mereka hanya mahu tunggu keputusan. Itu sahaja.


Saya harap cadangan Awang Selamat ini hanya akan tinggal cadangan. Jika cadangan ini diterima maka amalan demokrasi akan semakin terkubur, kerana pastinya nanti pihak kerajaan UBN akan cuba meletakkan pelbagai peraturan dan syarat yang berat sebelah. Sudah tentunya akan menguntungkan mereka sahaja. Dalam hal ini SPR tidak perlulah mendakwa bahawa mereka adalah badan bebas dan berkecuali kerana badan itu sudah lama tidak bebas sebaliknya SPR sudah lama tunduk di bawah telunjuk para pemimpin UMNO dan BN. Bahkan boleh dikatakan SPR ini hanyalah alat untuk memenangkan UMNO dan BN. Tambahan pula PRK kecil ini sebenarnya akan menguntungkan rakyat. Tiada pilihan raya maka tiada pembangunan. Mungkin Awang Selamat tidak tahu ini. Maklumlah Awang Selamat ini hanya mahu menyelamatkan kocek pemimpin-pemimpin UBN. Bagi kami rakyat biasa ini, pilihan raya sama ada pilihan raya kecil atau umum, sama sahaja, namun pilihan raya umum biasanya tidak memberikan kesan yang besar kepada kami, yang ada cuma janji pemimpin yang terlalu banyak sehingga tertunda-tunda ke penggal seterusnya. Dalam pilihan raya kecillah projek dan pembangunan mencurah-curah bagai durian runtuh. Demikianlah nikmat pilihan raya. Tentang YB-YB yang pendek umur, saya fikir sebagai manusia yang rasional, tidak perlulah kita rungsing sangat dengan perkara tersebut kerana semua itu adalah kuasa Allah. Tidak tahulah pula kalau pemimpin-pemimpin politik dan Awang Selamat tidak percaya kepada ketentuan Allah. Soal sama ada YB-YB perlu memeriksa kesihatan terlebih dahulu tidak perlu ditimbulkan. Perkara ini kelak hanya akan menjadi sebahagian daripada alat untuk memenangkan BN dan UMNO, sebaliknya akan menyukarkan YB yang tidak sehaluan dengan kerajaan. Bayangkanlah, setelah memenangi sesuatu kerusi, tiba-tiba SPR umumkan bahawa YB ini tidak layak menjadi wakil rakyat kerana ada penyakit. Kalau di pihak UBN mungkin, hanya perlu dicari pengganti sahaja sebaliknya jika di pihak yang bertentangan dengan mereka, pastinya mereka akan kata pilihan raya perlu diadakan kerana YB ini menipu dengan tidak mengisytiharkan keadaan kesihatan sebelum pilihan raya. Perbuatan ini melanggar peruntukan SPR di bawah bla..bala..bla. Begitulah agaknya.
     Mungkin ramai yang menyatakan bahawa pandangan ini hanya persepsi negatif semata-mata, tetapi apa yang kita lihat terhadap tindak-tanduk SPR hari ini, inilah realitinya. SPR dari dulu, kini dan selamanya akan  tetap menjadi alat para pemimpin UMNO dan BN. Tidak mustahil jika saya katakan, sekalipun 90% rakyat Malaysia menolak BN dan UMNO, parti itu akan tetap berkuasa. Tidak percaya? Kaji sejarah, pernahkah kerjaan BN dan UMNO ditukarkan sejak merdeka?  Tidak pernah bukan? Ini bukan bermakna bahawa mereka begitu amanah dan prihatin terhadap rakyat sebaliknya dasar yang diperkenalkan oleh SPR tidak membenarkan perkara ini berlaku. Saya setuju dengan pandangan Hisyamuddin Rais bahawa sekiranya pilihan raya boleh mengubah segalanya, sudah lama pilihan raya itu di haramkan di Malaysia ini.

Tuesday, January 18, 2011

Najib Yang Berlagak Berani, Tetapi Penakut!

"Kenapa saya harus takut berdebat dengannya? Saya adalah perdana menteri. Saya ada semua maklumat. Kalau saya dedahkannya... adoi... dia akan demam,” perli Najib.



Begitulah kata-kata sombong seorang Perdana Menteri yang bernama Najib. Beliau tidak takut berdebat tetapi tidak mahu berdebat. Apakah maknanya? Buat apa bercakap demikian kalau tidak mahu berdebat. Alangkah baiknya kalau  beliau  berkata " Saya tidak mahu berdebat kerana saya takut populariti saya merudum selepas kalah berdebat kelak", atau mungkin ada baiknya juga beliau memberi alasan lain yang boleh masuk dek akal. Ini tidak, cakap tidak takut, tetapi  tidak mahu berdebat. Bukan apa, sebagai rakyat yang terkesan dengan kenaikan minyak, harga barang dan kos hidup yang melambung tinggi pada hari ini, kami ingin juga tahu, adakah benar apa yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga itu akan menyebabkan negara muflis, sebagaimana yang didakwa Najib dalam ucapannya. Ternyata yang berbohong dalam hal ini ialah Najib. Negara tidak mungkin akan muflis jika program 100 hari Pakatan Rakyat dilaksanakan. Bahkan rakyat akan hidup dengan selesa. Kerana apa yang saya dapat lihat ialah hampir semua program yang terdapat dalam buku Jingga Pakatan Rakyat itu ialah bertujuan untuk membantu rakyat, membantu guru-guru, membantu semua lapisan rakyat dan bukan sebaliknya. Mengapa pula Najib kata negara akan muflis. Sebab itulah rakyat seluruhnya mahu mendengar alasan dan fakta-fakta yang akan dikemukakan oleh Najib, kami mahu tahu sebab-sebab negara muflis jika janji Pakatan Rakyat itu ditunaikan.
    Najib nampaknya berdolak-dalik tidak mahu berdebat kerana dia sedar bahawa program yang dijanjikan oleh pakatan itu jika dapat  dijelaskan oleh DSAI  dalam perdebatan itu kelak akan menyebabkan kerajaan yang mengutamakan kroni dan syarikat-syarikat  korparat akan kehilangan sokongan. Saya yakin dan percaya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu memberikan penjelasan berdasarkan fakta dan pengetahuannya terhadap keadaan kewangan negara kerana beliau memang berpengalaman sebagai menteri kewangan dahulu. Dan  jika benar Najib lebih tahu segala-galanya, maka secara rasionalnya beliau tidak akan berdolak-dalik untuk mengelakkan perdebatan itu. Yang lebih ditakuti oleh Najib sebenarnya ialah jika dalam perdebatan itu kelak Anwar Ibrahim melakukan pukulan KO sebagaimana Datuk menteri penerangan dahulu, sehinggakan mulut berbuih-buih. Untuk mengelakkan rasa malu kerana tidak dapat membidas DSAI, maka Datuk Shebery menyerang peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bila beliau menyerang peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan sendirinya belia telah mengaibkan diri sendiri. Rakyat mahu mendengar hujah dan fakta yang boleh diterima akal. Bukan memburuk-burukkan orang. Demikian juga dengan Najib. Ternyata Najib adalah seorang perdana Menteri yang tidak bertanggungjawab. Bukankah beliau yang mencetuskan idea untuk  berdebat ini dengan mendakwa jika janji Pakatan Rakyat ditunaikan maka negara akan muflis. Kita mahu bukti, bagaimana negara boleh muflis sebagaimana yang beliau dakwa.
Beliau harus bertanggungjawab dengan apa yang beliau dakwa.
     Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim beria-ia mahu berdebat kerana beliau bertanggungjawab terhadap apa yang dijanjikan dalam buku Jingga Pakatan Rakyat itu, mengapa Najib yang tahu segala-galanya tidak mahu bertanggungjawab dengan menyahut cabaran tersebut. Bukankah sikap Najib ini memperlihatkan bahawa Najiblah yang berbohong sebenarnya. Sebenarnya negara tidak akan muflis jika apa yang dijanjikan dalam Program 100 hari Pakatan Rakyat itu ditunaikan, bahkan sebagaimana yang saya pernah nyatakan sebelum ini bahawa Barisan Nasional juga mampu melaksanakannya. Cuma keutamaan Kerajaan Barisan Nasional hari ini ialah mahu menjaga kroni dan segelintir ahli korparat yang secara jelas mengautkan keuntungan dengan program penswastaan yang diperkenalkan sejak Era Tun Mahathir. Inilah yang amat ditakuti oleh pemimpin-pemimpin BN. Mereka takut tembelang mereka akan pecah. Kroni dan korparat diutamakan dan bukan rakyat.
     Demikianlah kesimpulan yang boleh saya buat kerana sikap dan tindak-tanduk perdana menteri 1 Malaysia itu ternyata tidak rasional.

Monday, January 17, 2011

Tarikh Negeri Harga Skrap (sen/kg )*


                                                                 1 hari       3 hari       7 hari

11/01/2011                  Kelantan                  710          739        810

11/01/2011                  Terengganu              713          741        813

11/01/2011                   Pahang                    710         739        810

11/01/2011                  Johor                        705          733        804

11/01/2011                  Negeri Sembilan       713           741        813

11/01/2011                  Melaka                     708          736        807

11/01/2011                  Selangor                    708         736        807

11/01/2011                 Perak                          708        736        807

11/01/2011                 Kedah                         705         733       804

11/01/2011                  Perlis                           705         733      804

11/01/2011                  Pulau Pinang                 705         733      804

                                    Sabah                           6.25        6.25     6.25
 
 
Siapa yang mendapat keuntungan dengan adanya perbezaan harga antara Sabah dan Semenanjung? Musa Aman? Pemimpin-pemimpin BN Sabah? Atau hantu yang  mendapat keuntungan dengan perbezaan harga ini?vAhli-ahli politik kata, Kerajaan Sabah sudah tidak mempunyai kuasa lagi untuk menentukan harga getah kerana LIGS bukan lagi di bawah kerajaan negeri. Masalahnya, mengapa para pemimpin-pemimpin hari  ini berdiam diri. Mengapa tidak ada usahakan sesuatu agar rakyat Sabah yang mereka wakili mendapat manfaatnya. Kalau tidak untuk apa mereka diundi menjadi wakil rakyat? Bukankah tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat terletak di bahu mereka? Adakah pemimpin-pemimpin BN Sabah juga mendapat keuntungan dengan perbezaan harga ini?  Jika pemimpin-pemimpin BN turut mengaut keuntungan dengan perbezaan harga ini, maka ada rasionalnya mereka berdiam diri sejak dahulu lagi. Pemimpin-pemimpin PBS yang dahulunya berdegar-degar memperjuangkan perjanjian 20 perkara yang dilupakan oleh kerajaan persekutuan, kini diam membisu. Mungkin mereka sudah kekenyangan. Banyak yang masyuk ke poket masing-masing. Bahkan beberapa penulis blog turut memaparkan penyeleewngan para pemimpin utama PBS ini. Ternyata pemimpin-pemimpin PBS ini juga mudah cair dengan kekayaan dan harta benda. Perjuangan mereka selama ini ternyata tidak ikhlas. Wajarlah parti itu bersengkongkol dengan parti UMNO, maka lengkaplah kini Sabah diperintah oleh kerajaan yang tamak haloba dan gilakan harta benda.  Yang penting bagi kerajaan Sabah hari ini bukan rakyatnya tetapi bagaimana mengaut kekayaan  untuk diri sendiri dan keluarga. Perjuangan untuk membela rakyat hanyalah batu loncatan semata-mata. Bila sudah berada di tampuk kuasa, maka tercapailah hasrat untuk memperkayakan diri sendiri dan keluarga. Beginilah jenis pemimpin BN hari ini. Semoga pilihan raya akan datang akan mengubah segalanya.

Thursday, January 6, 2011

Bunuh, rogol, rasuah & nilai Melayu

Dunia Melayu kini telah berubah. Ini bukan sekali air bah, sekali emak meninggalkan abah. Yang berubah ini bukan emak dan abah. Yang berubah ialah nilai manusia Melayu. Ini satu perubahan yang amat besar. Dalam masa hanya satu generasi telah dilihat satu perubahan budaya nilai Melayu yang amat jelas. Satu anjakan atau lebih tepat lagi satu lonjakan nilai telah berlaku.

Lonjakan nilai manusia Melayu ini bukan dibawa oleh tok lebai atau oleh sasterawan negara atau cikgu sekolah. Nilai ini bukan datangnya dari sekolah pondok atau sekolah kebangsaan. Yang bertanggungjawab membawa nilai baru ini ialah struktur ekonomi.

Struktur ekonomi ini telah diperkenalkan kepada manusia Melayu oleh United Malays National Organisation. Selama hampir 30 dahulu, Mahathir Mohamad melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah memasukkan satu nilai dan budaya baru dalam roh manusia Melayu.

Tiga puluh tahun sebelum hari ini, manusia Melayu adalah manusia pertanian. Ekonomi Melayu adalah ekonomi pertanian. Justeru, nilai yang dilahirkan oleh manusia Melayu ketika itu menggambarkan sopan santun dan damai mesra masyarakat pertanian.

Apabila DEB diperkenalkan, dasar ini menolak manusia Melayu ke satu dunia dan alam yang baru – alam jual beli atau alam perniagaan. Pada tahun tahun 70-an, manusia Melayu telah digalakkan datang berhijrah ke bandar dan kota. Dari kampung yang permai, manusia Melayu telah mula memasuki pekan dan bandar yang adat budayanya amat berbeza.

Perubahan yang dibawa oleh DEB ini bukan satu perubahan yang perlahan lahan, bukan evolusi. DEB ini telah mengheret dan memaksa manusia Melayu untuk menerima satu nilai dan budaya yang baru. Justeru, roh manusia Melayu ini pada tahun-tahun 90-an dahulu telah dipopularkan sebagai roh Melayu baru. Ini adalah garis pisah antara Melayu pertanian dengan Melayu peniagaan.

Sistem ekonomi yang dimunculkan oleh DEB pada asasnya ialah ekonomi sistem kapitalis. Tetapi dengan United Malays National Organisation, sistem kapitalis ini telah diubahsuai. Sistem kapitalisme ini tidak lagi menjadi satu perniagaan bebas, tetapi kapitalisme kroni. Kapitalisme jenis ini telah memilih anak bini kawan dan sahabat menjadi rakan niaga untuk menerima dana dan kontrek dari kerjaaan. Kapitalisma kroni inilah yang selama ini bertanggung jawab melahirkan satu nilai baru kepada manusia Melayu.

Asas nilai baru yang sedang dianjurkan oleh United Malays National Organisation ialah mengumpul pangkat, darjat, harta dan kekayaan. Tamak dan haloba dianggap nilai yang baik dalam budaya niaga.

Mementingkan kontrak dan tender

Hari ini jati diri Melayu - siapa Melayu, apa kepercayaan manusia Melayu, apa agama manusia Melayu – semuanya telah didifinasikan oleh United Malay National Organisation. Semua pengtakrifan baik dan buruk sedang dimonopoli oleh United Malays National Organisation.

Naratif yang berbeza dari apa yang diajar oleh United Malays National Organisation akan dianggap salah atau akan termasuk ke dalam bab ajaran sesat. Ajaran agama Islam juga telah didifinasi oleh United Malays National Organistation. Halal haram, baik dan buruk bukan lagi dirujuk melalui kitab kitab suci, tetapi melalui 'juruheboh' dan jurucakap agama yang dilantik oleh United Malays National Organistion.

Tidak dibenarkan, malah dilarang dan diharamkan apa sahaja naratif yang berlainan dari cerita yang dimulutkan oleh penyokong United Malays National Organistion. Kebenaran kini, telah dan sedang dimonopoli oleh United Malays National Organistion.

Rasuah yang pada satu ketika dahulu tidak ditemui atau berani menyerang masyarakat pertanian kini telah menjadi satu jalur budaya Melayu. Rasuah kini dilihat sebagai ciri budaya untuk menjalankan apa sahaja bentuk perniagaan. Malah kaum pemodal dan orang berniaga kini telah menerima pakai budaya rasuah. Dalam perhitungan jual beli, mereka telah menyediakan belanjawan khusus untuk merasuah sesiapa yang patut dirasuah – dari budak pejabat hingga ke ketua pegawai eksekutif (CEO).

Nilai Melayu baru ini tidak berhenti di tahap rasuah sahaja. Satu contoh klasik: Lebih dari satu dekad dahulu ada satu kes di mana seorang ketua menteri dikaitkan dengan anak sekolah bawah umur yang hamil. Kes ini menjadi heboh. Tetapi dengan nilai Melayu baru, kes 'rogol bawah umur' ini tidak mendatangkan mudarat kepada si perogol.

Manusia Melayu yang menganuti nilai baru ini telah tidak menyatakan rasa mual, benci atau merasa bersalah kerana kes rogol anak bawah umur telah dikaitkan dengan seorang ketua menteri. Nilai baru yang dihayati oleh manusia Melayu ini lebih mementingkan kontrak dan tender yang akan diperolehi daripada mementingkan salah atau benar seorang budak bawah umur yang dirogol.

Ketika tulisan ini ditulis, satu lagi kes rogol sedang heboh dan rancak dibincangkan dalam laman sesawang. Telah diperkatakan bahawa seorang menteri kanan dalam pentabiran Abdullah Badawi dahulu dikatakan terlibat merogol seorang pembantu rumah dari Indonesia.

Sama ada kes ini sahih atau tidak, bukan persoalannya. Apa yang menjadi persoalan ialah bagaimana manusia Melayu baru ini telah menjadi lali. Mereka tidak lagi teperanjat apabila membaca berita ini. Malah mereka tidak hairan yang berita ini telah tenggelam timbul selama dua tahun.

Nilai salah dan benar

Rasuah, rogol dan tipu ini telah menjadi satu yang lumrah. Ini kerana, ia sering berlaku atau dilakukan oleh mereka duduk di puncak kuasa, maka orang awam kini telah mula menerima perkara ini sebagai jalur nilai dan budaya Melayu.

Mari kita lihat satu lagi kes klasik yang telah membuktikan lonjakan perubahan nilai manusia Melayu ini. Kes yang dimaksudkan ini ialah kes pembunuhan model dari Mongolia. Dari apa yang umum baca, dengar dan lihat - ketika kes ini dibicarakan - umum telah tahu tentang kawan baik kepada Najib Razak (ketika itu timbalan perdana menteri) telah dituduh bersubahat dalam pembunuhan ini.

Malah dari apa yang umum diberitahu, mengikut laporan mahkamah Najib Razak bukan hanya kawan kepada orang yang tertuduh. Dari mulut saksi, perbicaraan umum telah diberitahu bahawa model yang dibunuh ini telah bertemu dengan Najib Razak di Paris. Malah melalui satu akuan bersumpah umum juga telah diberitahu yang Najib Razak ini adalah bekas kekasih model yang terbunuh. Najib bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Persoalan yang timbul di sini, bukan siapa yang membunuh. Atau siapa yang memberi arahan agar model ini dbunuh. Bukan ini yang ingin dibincangkan. Apa yang ingin ditimbulkan ialah bagaimana tiga juta manusia Melayu yang menjadi ahli United Malays National Organisation telah menjadi lali dan tuli bila berhadapan dengan kes pembunuhan model dari Mongolia ini.

Ketulian dan kelalian perasaan tiga juta ahli parti United Malays National Organisation ini terjadi kerana mereka telah menerima dan menghayati nilai dan budaya baru. Tiga juta manusia Melayu ini kini hanya boleh melihat melihat kontrak dan tender. Mata dan jiwa mereka tidak berupaya lagi melarikan diri dari kuasa, pangkat dan harta benda.

Jalur nilai baru ini tidak memiliki nilai salah dan benar. Malah salah dan benar telah pun ditakrif oleh juruheboh dan 'juruagama' United Malays National Organisation. Apabila juruheboh dan juruagama mengatakan Najib Razak ini suci dan bersih, maka tiga juta manusia Melayu ini juga akan mengangguk menerima perkara ini umpama wahyu.

Nilai baru ini menjadi amat merbahaya kerana sesiapa yang menghayati nilai ini tidak lagi ada keupayaan untuk menilai mana yang salah dan mana yang betul. Kerana ramai yang sanggup menerima dan berkongsi dengan nilai ini maka mereka merasa selamat dan betul. Angka dan jumlah yang banyak menjadikan mereka merasa kebal.

Anjakan nilai manusia Melayu ini telah menjadi bagitu songsang. Dari manusia pertanian yang jujur dan bersopan santun kini manusia Melayu akan berkira-kira tentang untung rugi sebelum membuat apa-apa keputusan. Mereka tidak lagi menilai sesuatu dengan salah benar atau halal haram. Akhirnya, tiga juta manusia Melayu yang menjadi ahli United Malays National Organisations bukan hanya menganggap sosok Najib ini suci dan bersih malah Najib Razak ini telah diangkat dan dinobatkan untuk menjadi ketua mereka.

Inilah krisis yang sedang dihadapi oleh manusia Melayu – krisis nilai. Maka terpulang kepada manusia Melayu lain – yang bukan termasuk dalam kategori tiga juta ini - jika mereka masih memiliki nilai salah benar untuk bangun dan bersuara. Krisis nilai orang Melayu ini akan berpanjangan dan membawa mudarat yang amat sangat ke atas negara bangsa. Mudarat akan sampai jika ramai orang Melayu yang bersopan santun dan jujur tidak melakukan sesuatu.
Hishamudin Rais
Jan 3 2011

Wednesday, January 5, 2011

Adakah Rakyat Didahulukan?

Harga minyak masak tidak akan naik?



Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 6 Jan: Rakyat mungkin menarik nafas lega apabila kerajaan memutuskan harga minyak masak tidak akan dinaikkan buat masa ini.
Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim berkata, namun setiap kali janji begitu keluar dari mulut pihak kerajaan, tidak berapa lama sesudah itu harganya akan naik seperti yang berlaku kepada harga minyak petrol. “Adakah ianya akan berulang kepada harga minyak masak, kita tunggu dan lihat,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa harga bahan tersebut akan dinaikkan menjelang sambutan Tahun Baru Cina kelak. "Sehubungan itu, kepada pengguna yang panik membeli (minyak masak) secara banyak, cukuplah buat kerja itu," katanya kepada pemberita di Putrajaya. Bagi Khalil, walaupun begitu krisis kekurangan minyak masak berlaku di negara ini, antara pengeluar utama minyak sawit dunia ini agak meruncing dengan mendapat liputan meluas media.
Katanya, sesetengah tempat harga siling yang ditetapkan RM2.50 iaitu harga kawalan yang sekarang telah mencecah RM3.50 sekilogram. Beliau yang juga Adun Titi Serong berkata, ada alasan bahawa kenaikan itu adalah seiring dengan kenaikan harga kelapa sawit yang mencecah harga tertingginya sejak beberapa minggu lepas. “Demikianlah pelbagai masalah yang membelit rakyat 1Malaysia dengan slogan rakyat didahulukan, setiap nafas yang disedut dan dihembuskan adalah wajah yang suram dengan tekanan hidup yang akan berterusan selagi BN memerintah Malaysia,” katanya



Satu sebab mengapa saya lebih berminat membaca media alternatif seperti  haraakahdaily, PDO serta beberapa blog penulis-penulis yang boleh dipercayai seperti MSO, tukar tiub dan lain-lain blog yang berwibawa, ialah kerana apa yang ditulis adalah tepat dan mudah diterima akal. Kalau membaca Utusan, Berita Harian atau menonton media perdana, kita amat terdedah kepada fitnah dan pembohongan sebagaimana pemimpin-pemimpin BN dan UMNO hari ini suka berbohong. Saya paparkan kandungan harakahdaily dalam blog saya ini kerana memang tepat apa yang pemimpin-pemimpin cakap tidak serupa denhgan apa yang dilaksanakan. Kalau pemimpin-pemimpin kata harga minyak tidak dinaikkan, maknanya akan dinaikkan harga itu sedikit masa lagi. Saya fikir pemimpin-pemimpin UMNO dan BN memang banyak yang munafik. Cakap lain buat lain. Demikian juga dengan dasar kerajaan. Kalau dia kata rakyat didahulukan bermakna rakyat akan dibelakangkan. Kalau dia kata demi kepentingan rakyat, bermakna  apa yang mereka lakukan itu adalah demi kepentingan perut boroi mereka. Demi memenuhkan kocek mereka. Memang benar pemimpin-pemimpin BN hari ini adalah penipu, pembohong, pembelit dan putar belit. Kalau mereka beria-ia mempertahankan sultan, ini bermaksud merekalah yang tidak menghormati sultan. Demikian juga kalau mereka kata mempertahankan negara dan perlembagaan, maka merekalah yang akan menghancurkan negara dan perlembagan. Oleh kerana itu saya sudah tidak lagi mempercayai pemimpin-pemimpin BN hari ini.

Sunday, January 2, 2011

Selamat Menyambut Tahun 2011

Salam semua. Tahun 2011 kini menjelang tiba, semoga ketibaan tahun 2011 ini akan melakarkan pelbagai peristiwa yang menggembirakan kita rakyat Malaysia. Pelbagai peristiwa pahit yang dilalui sepanjang tahun 2010, akan dijadikan panduan dan pedoman untuk kita menempuh pelbagai cabaran dan dugaan yang mendatang kelak. Sesungguhnya tahun arnab ini diharapkan mampu menceriakan hidup kita. Menurut kepercayaan Masyarakat Cina menyatakan bahawa pada tahun arnab ini dijangkakan mala petaka dan bencana tidak banyak berlaku. Sekalipun disambut dengan bencana banjir kita harap petaka tersebut tidak akan berlarutan.
     Pada tahun ini juga seluruh warga Malaysia berharap bebanan hidup yang semakin tinggi akan dapat diatasi. Kenaikan harga barang dan kos perkhidmatan tidak lagi menjadi igauan ngeri rakyat. Sebagai rakyat yang bernaung dibawah pentadbiran kerajaan Malaysia, kita berharap kerajaan Malaysia yang ada pada hari ini berusaha membendung pe ningkatan kos hidup yang amat menggelisahkan rakyat. Diharapkan pada tahun ini kerajaan akan lebih peka dan prihatin dengan rintihan rakyat. Bukan sebaliknya sebagaimana tahun 2010. Semakin dikritik dasar-dasar kerajaan yang membebankan rakyat, semakin banyak dasar yang diperkenalkan yang kebanyakannnya membebankan rakyat. Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir terus diingati sebagai pemimpin yang prihatin kerana gandingan pentadbiran mereka dalam era 80-an dan 90-an ternyata amat menyenangkan. Rakyat hidup selesa dan tidak terbeban. Hari ini pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional mula dicemuh dan dibenci kerana sikap tidak prihatin mereka kepada segala permasalahan rakyat keseluruhannya. Di atas kertas, memang banyak program yang dirancang untuk membantu rakyat miskin tetapi realitinya rakyat keseluruhannya hidup dalam keadaan terdesak dan tersepit ekoran kenaikan kos hidup yang telah melambung tinggi, manakala kerajaan yang ada hanya mampu beretorik dan berslogan. Pemimpin-pemimpin pembangkang sering dituduh sebagai cakap tidak serupa bikin, hakikatnya pemimpin-pemimpin BN yang mentadbir negara mengamalkan perkara tersebut. Saya secara peribadi berani bertaruh, jika diadakan pilihan raya yang telus dan adil, tidak ada manipulasi dan penipuan, kerajaan BN akan tumbang dalam PRU ke-13 akan datang jika kegelisahan rakyat ini tidak dibendung segera. Janji Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga ternyata menarik perhatian rakyat daripada pelbagai lapisan.