Written by Admin
Thursday, 17 February 2011 00:36
TweetShare
Saudara Pengarang,
SAYA terpegun seketika apabila terbaca satu artikel yang amat menarik tersiar di Portal Sabahkini.net bertajuk ‘Batalkan Kad Pengenalan dan Kerakyatan PATI’ yang merujuk kepada usaha Ahli Parlimen Malaysia (Tuaran) Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing berhubung gesaannya kepada Menteri Dalam Negeri Dato’ Hishamuddin Tun Hussin supaya diadakan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja bagi menyelesaikan masalah pemberian Kad Pengenalan dan kerakyatan kepada PATI.
Bagaimanapun memorandum yang mengandungi bukti-bukti dakwaan Bumburing itu ditolak oleh menteri berkenaan tanpa alasan yang konkrit. Gelagat Menteri terbabit mengguris perasaan rakyat Sabah yang inginkan kehidupan yang selesa dan aman damai tanpa ancaman musuh dari dalam.
Tahukah Dato’ Hisham bagaimana perasaan rakyat Sabah sekarang yang sentiasa dibayangi kebimbangan sertiap hari, apatah lagi petualang petualang negara dengan berani mencabar undang-undang negara apabila ada di antaranya mengisytiharkan diri mereka sebagai pewaris Sultan Sulu dan bertindak menabalkan diri sendiri sebagai Sultan Sulu.
Kami rakyat Sabah menegaskan bahawa kehadiran PATI di bumi bertuah ini bukan atas kehendak kami mengundang mereka, tetapi ia berlaku atas musibah negara mereka dan atas belas ehsan kerajaan membenarkan mereka tinggal untuk sementara waktu sebagai peri kemanusiaan.
Malangnya kenapa mereka ini diberikan pula kerakyatan dan Kad Pengenalan semata-mata menjadikan mereka ‘perkakas’ sesebuah parti politik untuk terus memerintah negara ini tanpa mengira kesan jangka panjang rakyat jati Sabah.
Kami bukan tidak bersimpati dengan masalah kebajikan PATI, tetapi kami juga mahu kerajaan khususnya KDN lebih bersimpati dengan nasib masa depan rakyat jati Sabah dari terus tertindas dan menjadi pelarian di negeri sendiri di suatu hari nanti.
Kami amat tertekan dan kebingungan kerana sandaran kami untuk mengatasi masalah keselamatan rakyat jati Sabah tidak lain daripada Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, tetapi malangnya sandaran dan harapan kami terus hancur berkecai apabila Menteri terbabit enggan menerima dan mendengar suara hati rakyat Sabah yang disampaikan Bumburing.
Kami merayu agar suara hati kami didengar dan diambil perhatian yang serius kerana jumlah PATI yang memiliki Kad Pengenalan dan kerakyatan jumlahnya bukan sedikit, malah ratusan ribu dan mungkin dalam tempoh sedekad lagi jumlah mereka akan bertambah berlipat ganda. Jadi, dalam keadaan sebegitu sudah pastilah suara kami, rakyat jati Sabah akan terus tenggelam dan perlahan-lahan hilang di bumi Sabah.
Menafikan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja membuktikan Kerajaan Pusat takut kepada ‘badi’ yang ditinggalkan oleh ‘Petualang Negara’, Allahyarham Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub yang mendalangi semua kegiatan mengeluarkan kad pengenalan projek atas restu bersama semua pemimpin UMNO, semata-mata untuk merampas ‘Sabah’ daripada tangan Parti Bersatu Sabah ketika itu.
Sekian,
TOK JANGGUT
Berdasarkan luahan salah seorang rakyat Sabah dalam web sabahkini.net yang tersinggung dengan tindakan KDN yang diterajui Hisyamuddin, membayangkan betapa hati rakyat Sabah seluruhnya tanpa mengira anutan politik, bangsa dan agama, terguris dengan tindakan Datuk Hisyamuddin itu. Keputusan tanpa alasan yang rasional dan masuk akal itu, dipercayai akan menyebabkan rakyat Sabah tidak lagi menyokong BN. Sebagai pemimpin politik, sudah tentunya secara rasional Datuk Hisyamuddin akan berhati-hati membuat keputusan demi menjaga hati rakyat Sabah. Demi mengekalkan sokongan rakyat Sabah kepada BN, seorang ahli politik seperti Hisyamuddin tidak sepatutnya mengambil tindakan yang boleh mengguris hati rakyat peribumi Sabah. Tetapi dalam soal penubuhan suruhanjaya Diraja untuk menyiasat pertambahan penududk Sabah secara mendadak dengan pemberian taraf kerakyatan kepada PATI. ternyata Hisyamuddin seakan-akan tidak mahu berkompromi. Apakah ada perkara yang mahu dilindungi dengan keputusan tersebut? Atau adakah benar tanggapan umum bahawa pemimpin-pemimpin UMNO terlibat dengan projek tersebut? Jika tidak mengapa pemimpin-pemimpin UMNO seakan-akan begitu fobia dengan isu yang ditimbulkan oleh Datuk Welfred Bumburing itu?
Pada tanggapan saya, Hisyamuddin menolak permohonan ahli parlimen UPKO itu kerana beliau seakan-akan sudah tahu jika siasatan dibuat pasti tembelang pemimpin-pemimpin UMNO akan terbongkar. Patutlah selama ini UMNO dan pemimpin-pemimpin mereka mendakwa bahawa Sabah dan Sarawak adalah fix deposit Barisan Nasional. Rupanya ada udang disebalik batu. Ada strategi yang keji. Mereka sanggup menggadaikan masa depan bangsa dan rakyat di negeri ini demi mengekalkan kuasa politik mereka. Betapa rakus dan gelojohnya pemimpin-pemimpin UMNO ini. Benarlah juga dakwaan Tukartiub bahawa ada usaha daripada pihak-pihak tertentu untuk mengeluarkan ic sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan kemenangan mereka di Sabah.
Walaupun sebelum ini saya menyokong UMNO tetapi sejak Najib menjadi PM ini banyak perkara yang tidak masuk akal dilakukan. Perbicaraan Datuk Seri Anwar dan fitnah pemimpin-pemimpin UMNO yang berleluasa menyebabkan saya takut menyokong kerajaan Barisan Nasional. Jika saya menyokong kerajaan Barisan Nasional hari ini, bermakna kita menyokong mereka menggadaikan negara ini kepada warga asing. Marilah kita meninggalkan UMNO dan kerajaan BN sebelum negera kita tergadai sepenuhnya. Hanya kita yang dapat menyelamatkan negara ini dan bukannya pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang korup, gila kuasa dan harta.