Sunday, February 13, 2011

Insiden Di Beberapa Buah Negara Arab Wajar Menjadi Iktibar Pemimpin Malaysia

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Lama juga blog ini tidak saya kemas kini kerana beberapa komitmen lain yang lebih mendesak. Saya memohon maaf kepada penjenguk setia blog ini kerana tidak dapat mengemas blog ini dalam waktu yang agak panjang. Sejak beberap bulan lalu banyak juga peristiwa yang berlaku sama ada di dalam atau di luar negara. Dun Tenang telah berjaya melalui PRK dengan lancar, manakala Pilihan raya Dun Merlimau dan Dun Kerdau bakal menyusul. Jika diambilkira PRK Dun Kerdau, bermakna sudah ada 16 PRK sejak  PRU ke-12 yang lalu. Tempoh 5 tahun selepas PRU ke-12 makin dekat. PRK yang sering berlaku sebelum PRU ke-13 kelak sebenarnya mendatangkan banyak kebaikan bukan sahaja kepada rakyat bahkan juga kepada pihak pembangkang. Biasanya dalam PRK inilah pelbagai pendedahan dilakukan oleh para pemimpin Pakatan terhadap kerajaan. Di pihak kerajaan pula, mereka terpaksan menghabiskan jutaan ringgit untuk memenangi pilihan raya itu untuk mengekalkan reputasi mereka.
      Saya harap dalam PRU umum atau PRK, SPR bertindak secara profesional. Mereka perlu bebas dan berkecuali. Pilihan raya perlu diadakan secara adil. Mereka tidak harus tunduk kepada pemimpin-pemimpin pemerintah khususnya pemimpin UMNO dan BN. Pilihan raya penting kerana pilihan raya itu menjadi satu cara rakyat meluahkan perasaan tidak puas hati. Bagi mereeka yang berkhidmat dengan cemerlang dan gemilang sudah tentunya mereka tidak akan menghadapi masalah mendapatkan undi di kawasan yang mereka wakili. Sebaliknya YB-YB yang hanya muncul sekali-sekala ke kawasan yang mereka wakili, patut dihukum oleh rakyat dengan tidak mengundi mereka. Dalam hal ini SPR tidak wajar membantu YB-YB tidak bertanggungjawab ini untuk terus kekal berkuasa.  Jika rakyat menolak mereka, maka adalah wajar SPR akur kepada kehendak rakyat. Janganlah hendaknya SPR tidak harus bertindak sebaliknya dengan mengadakan pelbagai peraturan, syarat dan kaedah baru semata-mata untuk memenangkan calon-calon BN dan menidakkan suara rakyat.
     Demikian juga dengan pemimpin-pemimpin BN, mereka tidak harus mendesak pengarah SPR agar mengikut telunjuk mereka. Sekalipun hal ini dinafikan berkali-kali oleh SPR bahawa mereka telus dan adil, mereka tidak tunduk kepada kehendak pemimpin politik namun sikap, tindak-tanduk serta pelbagai tindakan yang mereka buat membayangkan bahawa mereka mengikut telunjuk dan arahan pemimpin parti pemerintah khususnya BN. Bila SPR bertindak tidak adil maka bermakna mereka menafikan kebebasan rakyat untuk memilih. Lambat-laun jika masalah ini berlarutan tidak mustahil negara ini akan mengalami nasib yang sama seperti Mesir, Tunisia dan Algeria.
     Sejak saya lahir, negara ini khususnya kerajaan persekutuan tidak pernah ditadbir oleh parti lain selain parti UMNO dan rakan-rakannya. Bukan tidak boleh UMNO dan BN  terus memerintah negara, tetapi biarlah pilihan raya diadakan secara adil, telus dan benar-benar berkecuali. Bukan telus di mulut sahaja tetapi dari segi pelaksanaannya, ternyata SPR berat sebelah.
     Pemimpin-pemimpin BN hari ini wajar mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kepada kerajaan Mesir. Jangan  sudah terantuk baru tengadah. Sebenarnya sudah banyak rakyat yang tidaak berpuas hati dengan kerajaan BN dan UMNO, tetapi yang menghairankan mengapa mereka tidak boleh tewas setiap kali pilihan raya. Apakah negara kita juga sering kali menipu untuk kekal berkuasa seperti Mesir. Hanya pemimpin BN yang lebih mengetahui. Dan PRK yang kerap sejak PRU ke-12 lalu, pasti ada yang mahu disingkap oleh Allah melalui PRK itu. Pasti ada yang mahu Allahkan tunjukkan. Ada hikmah disebalik PRK yang kerap itu. Sekian.

No comments: