Tuesday, January 25, 2011

Saya Harap Lawak Awang Selamat hanya Sebagai Lawak.

Utusan Online
Sampai bila PRK?


BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

Sekali lagi demam pilihan raya kecil (PRK) melanda negara. Penamaan calon PRK Tenang semalam adalah pemandangan yang sudah begitu kerap dalam politik tanah air.
Ketika kempen PRK Tenang menjadi tumpuan, satu lagi PRK iaitu kawasan DUN Merlimau, Melaka akan menyusul. Kemungkinan DUN Pelabuhan Klang turut menyaksikan PRK juga menjadi tanda tanya.
Jika mengambil kira PRK Merlimau nanti, sebanyak 15 PRK berlangsung sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008. Kebanyakan PRK diadakan ekoran kematian penyandangnya. Ini terpaksa dilakukan bagi memenuhi tuntutan demokrasi di Malaysia. Sama ada suka atau tidak, ia terus mewarnai politik tanah air. Rasanya, tiada negara lain di dunia yang mengalami senario pilihan raya yang begitu kerap sebagaimana Malaysia. Setiap kali pilihan raya, setiap kali suhu politik meningkat. Malah selalu sangat berlaku ketegangan. Ia juga membazirkan banyak wang, tenaga dan masa. Jentera parti-parti yang bertanding terutama dari luar kawasan terpaksa meninggalkan lama keluarga mereka. Ini meliputi wakil-wakil rakyat yang berkampung di kawasan PRK dan tidak dapat menumpukan perhatian di kawasan masing-masing. Pada Awang, ini semua amalan kurang sihat, yang ahli-ahli politik juga sudah terperangkap dalam persekitaran itu. Bagaimana jika selepas ini, lagi banyak PRK diadakan? Kita bukanlah Tuhan untuk menentukan ajal maut seseorang wakil rakyat. Juga tidak memadai untuk kita menasihatkan wakil rakyat menjaga kesihatan dan pemakanan mereka agar hidup lama. Adakalanya tidak meninggal dunia kerana penyakit tetapi maut disebabkan nahas jalan raya selain peletakan jawatan. Maka Awang cadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan perubahan besar dalam soal PRK. Misalnya jika berlaku kematian, kerusi tersebut boleh disandang oleh parti yang menang dengan memilih wakil rakyat ganti tanpa perlu memanggil pilihan raya. Pindaan ini meliputi aspek perarakan parti semasa hari penamaan calon sebagaimana lazim. Ia umpama pesta dan sudah tidak lagi relevan. Awang percaya tentu ada jalan keluar kepada persoalan ini sebelum rakyat ‘bertambah penat’. Sekarang ini pun masyarakat apatah lagi golongan muda tidak teruja dengan PRK. Mereka hanya mahu tunggu keputusan. Itu sahaja.


Saya harap cadangan Awang Selamat ini hanya akan tinggal cadangan. Jika cadangan ini diterima maka amalan demokrasi akan semakin terkubur, kerana pastinya nanti pihak kerajaan UBN akan cuba meletakkan pelbagai peraturan dan syarat yang berat sebelah. Sudah tentunya akan menguntungkan mereka sahaja. Dalam hal ini SPR tidak perlulah mendakwa bahawa mereka adalah badan bebas dan berkecuali kerana badan itu sudah lama tidak bebas sebaliknya SPR sudah lama tunduk di bawah telunjuk para pemimpin UMNO dan BN. Bahkan boleh dikatakan SPR ini hanyalah alat untuk memenangkan UMNO dan BN. Tambahan pula PRK kecil ini sebenarnya akan menguntungkan rakyat. Tiada pilihan raya maka tiada pembangunan. Mungkin Awang Selamat tidak tahu ini. Maklumlah Awang Selamat ini hanya mahu menyelamatkan kocek pemimpin-pemimpin UBN. Bagi kami rakyat biasa ini, pilihan raya sama ada pilihan raya kecil atau umum, sama sahaja, namun pilihan raya umum biasanya tidak memberikan kesan yang besar kepada kami, yang ada cuma janji pemimpin yang terlalu banyak sehingga tertunda-tunda ke penggal seterusnya. Dalam pilihan raya kecillah projek dan pembangunan mencurah-curah bagai durian runtuh. Demikianlah nikmat pilihan raya. Tentang YB-YB yang pendek umur, saya fikir sebagai manusia yang rasional, tidak perlulah kita rungsing sangat dengan perkara tersebut kerana semua itu adalah kuasa Allah. Tidak tahulah pula kalau pemimpin-pemimpin politik dan Awang Selamat tidak percaya kepada ketentuan Allah. Soal sama ada YB-YB perlu memeriksa kesihatan terlebih dahulu tidak perlu ditimbulkan. Perkara ini kelak hanya akan menjadi sebahagian daripada alat untuk memenangkan BN dan UMNO, sebaliknya akan menyukarkan YB yang tidak sehaluan dengan kerajaan. Bayangkanlah, setelah memenangi sesuatu kerusi, tiba-tiba SPR umumkan bahawa YB ini tidak layak menjadi wakil rakyat kerana ada penyakit. Kalau di pihak UBN mungkin, hanya perlu dicari pengganti sahaja sebaliknya jika di pihak yang bertentangan dengan mereka, pastinya mereka akan kata pilihan raya perlu diadakan kerana YB ini menipu dengan tidak mengisytiharkan keadaan kesihatan sebelum pilihan raya. Perbuatan ini melanggar peruntukan SPR di bawah bla..bala..bla. Begitulah agaknya.
     Mungkin ramai yang menyatakan bahawa pandangan ini hanya persepsi negatif semata-mata, tetapi apa yang kita lihat terhadap tindak-tanduk SPR hari ini, inilah realitinya. SPR dari dulu, kini dan selamanya akan  tetap menjadi alat para pemimpin UMNO dan BN. Tidak mustahil jika saya katakan, sekalipun 90% rakyat Malaysia menolak BN dan UMNO, parti itu akan tetap berkuasa. Tidak percaya? Kaji sejarah, pernahkah kerjaan BN dan UMNO ditukarkan sejak merdeka?  Tidak pernah bukan? Ini bukan bermakna bahawa mereka begitu amanah dan prihatin terhadap rakyat sebaliknya dasar yang diperkenalkan oleh SPR tidak membenarkan perkara ini berlaku. Saya setuju dengan pandangan Hisyamuddin Rais bahawa sekiranya pilihan raya boleh mengubah segalanya, sudah lama pilihan raya itu di haramkan di Malaysia ini.

No comments: