Sunday, January 2, 2011

Selamat Menyambut Tahun 2011

Salam semua. Tahun 2011 kini menjelang tiba, semoga ketibaan tahun 2011 ini akan melakarkan pelbagai peristiwa yang menggembirakan kita rakyat Malaysia. Pelbagai peristiwa pahit yang dilalui sepanjang tahun 2010, akan dijadikan panduan dan pedoman untuk kita menempuh pelbagai cabaran dan dugaan yang mendatang kelak. Sesungguhnya tahun arnab ini diharapkan mampu menceriakan hidup kita. Menurut kepercayaan Masyarakat Cina menyatakan bahawa pada tahun arnab ini dijangkakan mala petaka dan bencana tidak banyak berlaku. Sekalipun disambut dengan bencana banjir kita harap petaka tersebut tidak akan berlarutan.
     Pada tahun ini juga seluruh warga Malaysia berharap bebanan hidup yang semakin tinggi akan dapat diatasi. Kenaikan harga barang dan kos perkhidmatan tidak lagi menjadi igauan ngeri rakyat. Sebagai rakyat yang bernaung dibawah pentadbiran kerajaan Malaysia, kita berharap kerajaan Malaysia yang ada pada hari ini berusaha membendung pe ningkatan kos hidup yang amat menggelisahkan rakyat. Diharapkan pada tahun ini kerajaan akan lebih peka dan prihatin dengan rintihan rakyat. Bukan sebaliknya sebagaimana tahun 2010. Semakin dikritik dasar-dasar kerajaan yang membebankan rakyat, semakin banyak dasar yang diperkenalkan yang kebanyakannnya membebankan rakyat. Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir terus diingati sebagai pemimpin yang prihatin kerana gandingan pentadbiran mereka dalam era 80-an dan 90-an ternyata amat menyenangkan. Rakyat hidup selesa dan tidak terbeban. Hari ini pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional mula dicemuh dan dibenci kerana sikap tidak prihatin mereka kepada segala permasalahan rakyat keseluruhannya. Di atas kertas, memang banyak program yang dirancang untuk membantu rakyat miskin tetapi realitinya rakyat keseluruhannya hidup dalam keadaan terdesak dan tersepit ekoran kenaikan kos hidup yang telah melambung tinggi, manakala kerajaan yang ada hanya mampu beretorik dan berslogan. Pemimpin-pemimpin pembangkang sering dituduh sebagai cakap tidak serupa bikin, hakikatnya pemimpin-pemimpin BN yang mentadbir negara mengamalkan perkara tersebut. Saya secara peribadi berani bertaruh, jika diadakan pilihan raya yang telus dan adil, tidak ada manipulasi dan penipuan, kerajaan BN akan tumbang dalam PRU ke-13 akan datang jika kegelisahan rakyat ini tidak dibendung segera. Janji Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga ternyata menarik perhatian rakyat daripada pelbagai lapisan.

No comments: