Friday, April 22, 2011

Malaysia Baru Bakal Muncul Jika SPR Telus, Kalau Tidak Pilihan Raya Hanya Untuk Mengesahkan Kekuasaan UMNO Dan BN.

Malaysia Baru bakal menyingsing pada PRU 13



Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 22 April: Negara ini bakal menyaksikan menyingsingnya sebuah Malaysia Baru yang diimpikan semua pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.
AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, ini andainya Pakatan Rakyat mampu menggerakkan seluruh segmen rakyat, termasuk golongan akademik, profesional, pelbagai NGO, gologan remaja, wanita bahkan kakitangan awam dalam agenda melakar ‘perubahan besar’ mengeluarkan negara dari pelbagai krisis ekonomi, kebejatan sosial dan pertentangan perundangan-agama serta himpitan hidup akibat dari pengurusan tempang dan bobrok Barisan Nasional.

Mengenai pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang diadakan minggu lepas, beliau berkata dalam suasana Pakatan Rakyat yang tidak begitu terarah dan tersusun, ‘pendatang baru’ seperti PAS amat tidak dapat dibantu berbanding DAP yang telah lebih 30 tahun berkecimpung dalam kancah politik Sarawak.
“PAS masih mencari-cari sentuhannya. Namun ia permulaan yang baik. PAS kalah tipis di Beting Maro tetapi memenangi 10 dari 19 saluran di Dun tersebut,” tulis beliau yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor di dalam blognya.
     Menurutnya, PAS kini sedar kelemahan di kesemua kerusi yang ditandingi dan tahu faktor kritikal kejayaan (CSFs) untuk membuat perubahan nasibnya.
Dengan kata lain, jelasnya pendekatan dakwah PAS mesti digarap dengan strategi penerangan politik yang lebih berbisa.
Untuk kali ketiga penglibatan PAS dalam PRN Sarawak, beliau terpaksa mengakui bahawa strategi PAS kurang pantas untuk memposisi kedudukan dan keberadaannya dalam Pakatan sebagai teras mesej penerangannya, sekaligus terus berada bersama dengan agenda perubahan yang dipacu bersama rakan-rakan Pakatan.
      “Meraih undi Melayu-Melanau, dalam keadaan PRN Sarawak adalah satu kerja yang maha sukar mentelahan PAS didakwa bersama rakan-rakan Pakatan untuk menamatkan kuasa Melayu-PBB di Sarawak,” katanya.
Tambahnya, dalam suasana prejudis dan penuh kesangsian, faktor calon dan koalisi politik Pakatan mampu membantu tetapi tidak disudahi dengan baik.
Ringkasnya, kata beliau PAS masih boleh lagi memperbaiki prestasinya dengan lebih baik dalam PRU ke-13.
Namun, ujarnya PAS tidak boleh mengulangi sikap lama tetapi mesti memunggahkan seluruh sumber dan peluang untuk memantapkan lagi posisi dan persepsinya di kaca mata orang Melayu-Islam bukan sahaja orang Sarawak, bahkan seluruh Persekutuan Malaysia.
Menurutnya lagi, di kacamata segmen bukan Melayu-bukan Islam, kedudukan PAS semakin kukuh.
   Beliau penuh keyakinan, Pakatan Rakyat bersedia dalam satu pendekatan grand coalition untuk membuat kejutan lebih besar dalam PRU ke-13 akan datang


Malaysia Baru yang lebih demokratik, telus dan  berdaya maju akan muncul jika SPR telus dan benar-benar berkecuali. Sebagai rakyat yang pernah menyertai UMNO dan BN, yang pernah berjuang dan tahu taktik keji UNMNO, saya percaya Pakatan Rakyat tidak mungkin mampu menumbangkan kerajaan BN yang penuh dengan tipu  muslihat yang keji dan jijik. Dan segala tipu muslihat itu tidak mungkin menjadi jika SPR tidak memihak kepada UMNO dan BN. Walau pun SPR mengaku bahawa mereka adalah badan bebas yang berkecuali tetapi sikap dan tindak tanduknya sering kali bercanggah dengan apa yang dikatakannya. Rakya biasa juga sudah maklum bahawa kegiatan rasuah UMNO untuk membeli undi bukan lagi rahsia dan sulit. Sudah menjadi pengetahuan rakyat umum bahawa UMNO akan mengagih-agihkan wang saku untuk pilihan raya kepada rakyat setiap kali pilihan raya. Dalam usia 44 tahun  sudah empat kali saya mengundi, dan sudah empat kali juga saya, keluarga, sanak saudara serta orang-orang kampung menyaksikan mereka menerima wang rasuah daripa pemimpin-pemimpin BN. Jmulah itu antara RM20 hingga RM100. Ini tidak termasuk membeli penyokong tegar calon pembangkang yang mungkin nilainya lebih besar. Dan semua perbuatan itu tidak menyalahi peraturan atau undang-undang SPR sekali pun ada aduan dibuat. Maklumlah aduan itu pastinya dibakulsampahkan.
     Ini bermakna pemimpin Pakatan Rakyat hanya berangan-angan kososng jika masalah berat sebelah SPR ini tidak diatasai sebelum pilihan raya ke-13. Saya cadangkan agar pemimpin-pemimpin  Pakatan Rakyat mohon bantuan daripada pertubuhan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa untuk memantau perjalanan pilihan raya ke-13 kelak. Kami sebenarnya benar-benar mahukan perubahan. Kami sudah terlalu bosan dengan kerajaan BN yang sudah sekian lama. Selagi mereka berkuasa, selagi itu akan banyak dasar yang lebih menguntungkan kroni dan keluarga mereka. Perkara ini perlu ditamatkan segera. Pilihan raya yang bersih, adil dan telus perlu diadakan. Jika tidak pilihan raya yang ada di Malaysia ini hanya berfungsi untuk mengesahkan kesinambungan kuasa BN. Ini bermakna kuasa yang rakus, tamak, zalim, rasuah, kronisme dan nepotisme akan terus dibenarkan mentadbir negara ini.
     Kami benar-benar mengharapkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat bertindak lebih berkesan. Bukan setakat menyalak bukit. Tidak perlulah buat aduan tentang ketidakadilan SPR itu kepada SPR atau kerajaan, atau mana-mana agensi kerajaan. Hal ini demikian kerana semua agensi yang bernaung dibawah kerajaan BN dan UMNO itu tetap akan memberikan keutamaan kepada UMNO dan BN. Tindakan yang dilakukan tidak lebih daripada lakonan semata-mata. Rakyat sedia maklum tentang perkara ini. Oleh kerana itu pemimpin-pemimpin Pakatan diharapkan bertindak lebih berani. Mohon campurtangan pertubuhan antarabangsa untuk memantau PRU ke-13 kelak. Kami harap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat tidak setakat tahu bercakap sahaja tetapi tidak menentang kemungkaran BN ini dengan berani. Wallahualam bisawab. Hanya Allah yang lebih mengetahui segalanya.

No comments: