Monday, July 26, 2010

Parti UMNO atau Pemimpin UMNO yang perlu berubah?

Sejurus selepas dinobatkan sebagai presiden parti, Najib dalam ucapan sulungnya berjanji akan melaksanakan perubahan besar terhadap parti agar parti tersebut terus relevan kepada rakyat. Sebagai pemerhati dan juga ahli parti, saya tertunggu-tunggu pelbagai perubahan yang akan dilaksanakan Najib. Saya kira Najib akan lebih mesra rakyat dan telus untuk melonjakkan sokongan rakyat kepada parti itu yang dilihat semakin merudum. Namun, hingga hari ini sebenarnya tiada apa-apa perubahan yang dilakukan oleh Najib, yang boleh menarik semula masyarakat untuk menyokong UMNO. Bagi saya Najib atau Pak Lah sama sahaja. Cakap ikut sedap mulut mereka sahaja. Hakikatnya mereka tidak mampu lagi mengubah UMNO dan budaya UMNO. Sebagai ahli akar umbi, perubahan yang kami perlukan ialah;

1. Pemimpin-pemimpin mengamalkan nilai-nilai amanah seperti jujur, telus dalam perbelanjaan, tidak berdolak-dalik, tidak hipokrit dan yang lebih penting ialah kembali kepada agama Allah. Dalam konteks ini, Najib perlu melakukan pelbagai program agama dan kerohanian bukan untuk rakyat tetapi untuk pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Persepsi rakyat ialah pemimpin-pemimpin UMNO dan kerajaan hari ini ialah mereka kerap melanggar hukum-hakam agama. Pemimpin-pemimpin hari ini tidak berasa berdosa apabila melakukan pelbagai kejahatan- rasuah berleluasa, penyelewengan menjadi amalan biasa. dan sebagainya.
Bila pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional sudah berakhlak maka ilmu dan amalan keagamaan perlu pula diperluaskan kepada ketua-ketua jabatan khususnya PDRM, SPRM, SPR, Kehakiman dan sebagainya. Agensi-agensi ini sudah tidak lagi dipercayai oleh rakyat. Pengamalan agama akan membolehkan mereka bekerja secara adil, telus dan tidak mudah diperalatkan oleh pemimpin-pemimpin atau mereka yang berkepentingan. Kebencian yang membuak-buak terhadap kerajaan dan pemimpin-pemimpin UMNO hari ini adalah disebabkan manipulasi pemimpin UMNO dan kerajaan terhadap agensi-agensi ini.

2. Pemimpin-pemimpin perlu mempertimbangkan kebajikan rakyat apabila melaksanakan sesuatu dasar. Atau dalam bahasa yang lebih mudah, rakyat hendaklah diutamakan dalam segala urusan pentadbiran dan juga perbelanjaan. Rakyat perlu dibela secara ikhlas. Bukan cakap lain buat lain seperti yang dilakukan Najib hari ini. Kata rakyat diutamakan tetapi harga petrol dan gula dinaikkan. Kemudian dicanangkan kepada rakyat pula kononnya gula perlu dikurangkan untuk menjaga kesihatan mereka, Rakyat sihat menjadi keutamaan kononnya, tindakan menaikkan harga gula sesuai dengan slogan rakyat diutamakan. Saya nak tanya pula, harga minyak diesel dan petrol dinaikkan rakyat juga yang diutamakankah? Sedanagkan perbelanjaan harian kami terus meningkat. Belanja beli minyak naik, belanja beli keperluan juga naik. Jadi siapa sebenarnya yang diutamakan oleh pentadbiran Najib hari ini.

3. Bila menyentuh tentang rakyat, yang tergolong sebagai rakyat ialah kakitangan kerajaan, peniaga, pekerja swasta, pekebun, nelayan, petani, dan sebagainya. Oleh itu, melaksanakan sesuatu dasar untuk membantu rakyat maka biarlah dasar itu menyeluruh dan dirasai oleh rakyat keseluruhannya. Tidak seperti hari ini, banyak bantuan untuk rakyat tetapi bantuan itu tidak pun dirasai oleh raklyat. Banyak subsidi itu, subsidi ini tetapi yang menjadi kaya raya ialah orang tengah, tauke-tauke, para cukong dan kroni. Maka wajarlah rakyat tidak mempercayai pemimpin-pemimpin UMNO dan BN hari ini. Jika ada program atau sesuatu dasar, pasti ada terselit niat untuk memperkayakan diri dan keluarga. Demikianlah yang berlaku kepada pemimpin-pemimpin UMNO hari ini. Inilah yang sepatutnya diubah oleh Najib.

4. Najib perlu menyeru dan mencadangkan kepada media arus perdana agar lebih telus dan tidak menyiarkan berita yang bersifat propaganda dan fitnah. Peranan media perdana yang memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat dan pemimpin-pemimpin pembangkang hanya menambahkan kebencian rakyat terhadap Kerajaan hari ini. Najib haruslah melihat berita dalam konteks kami rakyat. Mungkin Najib tidak menyedari bahawa rakyat yang dibekalkan dengan nilai dan fitrah sebagai manusia amat membenci fitnah dan putar belit. Sekali dua, mungkin orang percaya, tetapi lama-kelamaan manusia itu akan berfikir secara logik. Mengambil kira pelbagai pertimbangan secara rasional untuk mempercayai apa yang dipaparkan dalam media. Menyedari media perdana seringkali menipu dan memfitnah, kami tidak mahu dan mendengar lagi berita-berita yang berbaur fitnah dan putar belit. Kami takut berkongsi dosa dengan para pemfitnah kerajaan.

Saya sarankan agar Najib mengubah budaya dan amalan pemimpin-pemimpin UMNO dan bukan membuang masa memikirkan pelbagai peraturan baru. Memindah perlembagaan UMNO tidak memberikan apa-apa makna, sebaliknya jika budaya rasuah, tidak beramanah, dan perjuangan yang tidak ikhlas daripada pemimpin-pemimpin UMNO hari ini dapat diubah, saya percaya UMNO tidak perlu lagi mengemis sokongan daripada parti pas. Pas hari ini mendapat sokongan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum kerana sifat beramanah dan bermoral pemimpinnya. Kalau dalam PRU ke-13 akan datang UMNO masih berjaya mengekalkan kuasa, bermakna ada strategi yang jijik dan kotor diamalkan oleh SPR untuk memenangkan BN. Saya sebagai ahli UMNO sudah tidak lagi menyukai pemimpin hari ini apatah lagi mereeka yang bukan ahli.

No comments: