Tuesday, November 30, 2010

Datuk Raden Bagai Surat Khabar Lama.

Adakah Datuk Raden akan terus dicalonkan untuk mewakili rakyat Melalap yang sudah diwakilinya lebih 20 tahun? Kenapa beliau terus mendapat kepercayaan kepimpinan tertinggi BN dan parti PBS? Sedangkan sejak penggal lalu rakyat kecoh dan marah terhadap beliau kerana gagal membantu rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan. Program PPRT misalnya, berapa ramai rakyat miskin yang benar-benar memerlukan tapi cubalah teliti dan lihat siapa yang mendapat PPRT itu. Kebanyakannya berkemampuan dan sepatutnya tidak layak. Cuma pada tahun ini, 2010, bila Datuk Shafie Afdal mengumumkan 200 unit rumah PPRT diperuntukkan kepada Parlimen Tenom barulah segelintir mereka yang layak mendapat bantuan rumah PPRT tersaebut. Itupun mengikut beberapa orang yang sempat saya temui, ada yang dijual oleh orang-orang kuat beliau kepada mereka yang tidak layak. Saya tidak fahami, mengapa YB sedemikian masih terus mendapat kepercayaan pemimpin tertinggi PBS. Apakah parti PBS sudah ketandusan pemimpin? Janganlah lihat hanya pada kelulusan, sepatutnya seorang calon perlu juga dilihat dari segi aspek lain. Misalnya kesungguhan dan sikap bertanggungjawab. Seorang pemimpin juga tidak patut mudah berkecil hati bila ditegur oleh rakyat. Sedangkan teguran itu, benar. Anggaplah teguran itu sebagai pembakar semangat untuk terus berkhidmat kepada rakyat. Tetapi sebaliknya Datuk Raden, pantang dikritik dan disentuh tentang kelemahannya.


Semasa PRU ke-12, beberapa orang pemimpin tempatan bertanya dan minta pandangan saya apakah Datuk Raden seorang YB yang baik dan bertanggungjawab? Saya kata kepada mereka bacalah coertan saya. Dalam tulisan saya itu, saya ada menyebut betapa Datuk Raden seorang pemimpin tua yang sudah tidak sesuai lagi pada zaman ini. Beliau memang disukai generasi tua tetapi tidak bagi generasi muda. Beliau yang sering menghadiri majlis perkahwinan dan keramaian suka berkaraoke dan mempersembahkan lagu-lagu. Generasi tua memang bertepuk tangan gembira jika beliau menyumbangkan beberapa buah lagu walaupun suara beliau tidak merdu. Bagi generasi muda nyanyian beliau hanya menyakitkan telinga. Saya harap beliau sedar diri.

Sebenarnya saya tidaklah meneganli Datuk Raden secara dekat kerana saya hanya bergiat aktif dalam politik ketika usia sudah menjangkau 27 tahun. Saya mengetahui serba sedikit tentang keperibadian Datuk Raden berdasarkan perbualan dan pandangan rakyat Tenom. Maklumlah beliau bukanlah asing bagi rakyat Tenom. Beliau sudah lebih 20 tahun menjadi wakil rakyat Tenom. Apa yang jelas Datuk Raden bukanlah pemimpin yang benar-benar mahu membantu orang Murut yang diwakilinya, sentimen kepartian beliau yang tinggi membataskan tanggungjawabnya kepada rakyat Kawasan Dun Melalap. Beliau juga bukanlah pemimpin yang bijak merancang kerana setakat ini belum ada yang beliau lakukan untuk rakyat Tenom. Cuma setelah dikritik hebat dalam PRU ke-12, barulah beliau cuba memperbaiki jambatan Binaie dan mengusahakan bekalan air bersih kepada rakyat Tenom. Itupun belum lagi siap. Orang kampung masih bergantung kepada air paip graviti sedangkan kampung Enubai yang lebih jauh dari pekan Tenom berbanding kampung Mantailang dan Kampung Paguokon, mereka sudah lama menikmati bekalan air. Kampung Enubai ini terletak dalam Dun Kemabong. Begitulah lembabnya YB Dun Melalap ini. Dalam PRU ke-12 lalu beliau berjanji meperbaiki jambatan Binaie dan akan mengusahakan bekalan air bersih, maka itu jugalah yang cuma diusahakan oleh beliau dalam penggal tersebut. Perkara-perkara lain mungkin beliau tidak terfikir langsung. Misalnya membantu peniaga-peniaga kecil, membantu para petani dan pekebun kecil. Apa yang saya lihat sejak harga getah meningkat harganya, rakyat Tenom berlumba-luma menanam getah. Tetapi kebanyakan benih yang digunakan tidak berkualiti kerana mereka tidak mampu membeli benih getah yang berkualiti tinggi. Risda pula mempunyai syarat dan peraturan yang agak rigid. Selain itu harga getah di juga tidaklah menggembirakan rakyat Tenom. Harga getah di sini jauh lebih rendah berbanding dengan Semenanjung Malaysia. Dalam hal ini mengapa Datuk Raden terus membisu?

Dalam suasana pemimpin-pemimpin politik di Semenanjung Malaysia memperkatakan tentang Tanah Melayu yang semakin terhakis, ternyata pemimpin-pemimpin Sabah terus membisu soal tanah, walhal masih banyak rakyat Sabah khususnya rakyat Tenom yang tidak bertanah. Kebanyakan rakyat Tenom pula khususnya Bumiputera bergantung kepada hasil pertanian, sayangnya pemimpin tiada usaha langsung membuat kajian berapa ramai rakyat yang tidak bertanah dan bergantung kepada kerja-kerja sebagai buruh binaan dan ladang-ladang kelapa sawit? Di samping itu ada juga yang meiliki tanah tetapi kerana beberapa faktor tertentu mereka tidak berupaya mengusahakannya. Misalnya ketiadaan jalan raya ke tanah mereka menyukarkan mereka menguahasakan tanah-tanah tersebut. Ada juga yang sudah uzur dan tidak berupaya mengusahakan tanah mereka. Mungkinkah Datuk Raden tidak pernah memikirkan kehidupan rakyat yang diwakilinya. Bagi Datuk Raden, rakyat perlu datang kepadanya, merayu beliau. Barulah mungkin beliau tergerak hati untuk membantu rakyat yang diwakilinya. Saya yakin dan percaya Datuk Raden tidak pernah membuat kajian terhadap rakyat yang diwakilinya khususnya dari segi taraf hidup. Apalah fungsi Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) yang diwujudkan kerajaan negeri jika agensi itu tidak membantu rakyat. Pemimpin-pemimpin peringkat kampung, JKKK dan ketua kampung boleh membantu Datuk Raden mendapatkan gambaran tentang tahap sosioekonomi rakyat Melalap. Sayangnta beliau hanya dan kerap menggunakan pemimpin-pemimpin ini untuk tujuan politik semata-mata. Ada pilihan raya, maka sibuklah Datuk Raden bertemu dengan pemimpin-pemimpin kampung ini, kalau tidak jangan harap.



Sebenarnya, saya tidaklah suka memberikan komen dan kritikan kepada YB ini kerana beliau merupakan seorang yang pendendam. Pantang ditegur dan dikritik. Saya pernah mengkritik beliau dalam PRU ke-12 yang lalu menyebabkan beliau berdendam dengan saya. Ketika beliau dijemput ke Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang di sebuah sekolah, beliau memalingkan muka dan mengelakkan diri untuk bersalam dengan saya. Saya perasaan dengan sikap beliau dan sebenarnya saya tidakpun ambil kisah dengan sikap beliau ini. Benar kata mereka yang mengenali Datuk Raden secara dekat. Beliau memang seorang pemimpin yang pendendam. Walhal sebagai rakyat saya berhak mengkritik sesiapa sahaja yang bergelar pemimpin agar mereka boleh memperbaiki khidmat mereka kepada masyarakat dan rakyat yang diwakili. Agar mereka tidak cuma mendengar bodekan dan pujian yang muluk-muluk sehingga alpa terhadap tanggungjawab dan amanah yang diletakkan di pundak mereka. Kalau seorang pemimpin itu mudah terasa dan melenting hanya kerana dikritik, maka ada baiknya jangan jadi pemimpin. seorang pemimpin perlu berjiwa besar dan tidak mudah terasa dengan pelbagai kritikan dan tohmahan yang dilemparkan kepadanya. Kalau kritikan itu benar, maka perbaikilah kelemahan itu, jika sebaliknya, ambil perkara tersebut sebagai dugaan yang perlu dihadapi dan diharungi.

No comments: