Thursday, May 5, 2011

Majlis konsultasi gaji hanya mampu lobi


Tian Chua
May 1, 11 9:40am

Tanggal 1 Mei adalah Hari Buruh Antarabangsa. Asal-usulnya untuk mengenalkan kumpulan pergerakan pekerja yang berkorban ketika memperjuangkan lapan jam waktu berkerja di Amerika Syarikat.
Ulangtahun kejadian ini kini diiktiraf oleh negara-negara sedunia sebagai tanda menghormati hak-hak asasi kaum buruh, dan turut menghargai sumbangan pekerja-pekerja dalam pembangunan sosial ekonomi negara.
Hari Buruh Antarabangsa telah disambut secara rasmi di Malaysia sejak 1972. Namun menurut data Kementerian Sumber Manusia, hampir 34% daripada kira-kira 1.3juta tenaga kerja negara kita hanya terima pendapatan bulanan di bawah RM700 sebulan.
Kajian Bank Dunia juga menunjukkan pertumbuhan gaji di Malaysia hanya mencatatkan 2.6 peratus setiap tahun sejak 10 tahun lalu berbanding dengan peningkatan kos hidup dalam tempoh tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mensasarkan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi dalam Pelan Transformasi yang dicadang BN.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam turut mengesahkan bahawa pada dasarnya kerajaan bersetuju supaya gaji perlu dinaikan.
Kata-kata tersebut mungkin sedap didengar, tetapi sehingga hari ini kerajaan belum tunjuk komitmen untuk mempertingkatkan pendapatan golongan bergaji rendah. Sebaliknya masalah inflasi dan kenaikan harga barangan keperluan asas dibiarkan semakin membebankan pekerja.


Kepentingan sendiri
Dari jawapan menteri sumber manusia dalam sidang parlimen lepas, rupa-rupanya kerajaan BN telah bersimpang dari komitmen awal untuk melaksanakan gaji minimum. Sebaliknya, kerajaan hanya mencadangkan penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Kebangsaan.
Keputusan ini amat mengecewakan. Nampaknya Kerajaan tidak mengendahkan desakan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk perusaha dan pekerja.
Langkah penubuhan majlis konsultasi tidak akan memberi perlindungan hak pekerja yang berkesan dan tidak secara langsung membawa peningkatan pendapatan golongan pekerja.
Badan tersebut hanya mempunyai peranan terhad untuk menasihat dan melobi di antara majikan, pekerja dan kerajaan.



Perkara ini sekali lagi menunjukkan BN mengkhianati kepentingan pekerja. Kesimpulannya BN tidak prihatin kepada nasib pekerja dan gagal mengotakan janji-janji dan komitmen sendiri.
Akhirnya, pendapatan isi rumah akan semakin merosot berbanding dengan kadar inflasi yang semakin tak terkawal.
Sempena Hari Buruh Antarabangsa, saya menegaskan bahawa Pakatan Rakyat tidak akan berdolak-dalik untuk melaksanakan dasar gaji minimum. Kami juga berpendirian untuk meminda akta-akta yang menindas hak-hak pekerja dan kesatuan sekerja.
Kalau perdana menteri dan menteri sumber manusia tidak berani mengambil langkah pertama dalam isu pokok seperti pelaksanaan gaji minimum Kebangsaan, tak perlu lagi kita anggan-anggankan ekonomi berpendapatan tinggi.



Seterusnya, sasaran mencapai pendapatan per kapita tahunan sebanyak AS15 ribu pada tahun 2020 cuma merupakan bayangan imaginasi yang diomong-omong oleh Najib Razak sahaja.
Oleh kerana demikian, kaum pekerja Malaysia tidak boleh meletakkan harapan kita kepada pemerintahan BN. Realisasi impian pekerja dan pengagihan kekayaan yang adil hanya akan berjaya jika pekerja-pekerja dari semua sektor beriltizam bersama perjuangan mengubah sistem politik negara.

--------------------------------------------------------------------------------

Penulis merupakan naib presiden PKR dan anggota parlimen Batu.


Saya setuju 100% dengan kenyataan ini. UMNO dan BN patut dihumbankan dalam PRU ke-13 kelak tetapi usaha penyelewengan pengundi yang dilakukan oleh SPR perlu ditentang habis-habisan. Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat belum bertindak dengan berkesan mengekang strategik jijik yang dilakukan oleh SPR ini untuk memangkan BN. Mereka perlu berusaha lebih gigih, rakyat pun tahu kehadiran PATI yang kini menjadi pengundi. Inilah kerja SPR yang sanggup menggadaikan masa depan rakyat semata-mata untuk memenuhi impian mereka. Celaka betul SPR ini.

No comments: