Thursday, April 8, 2010

PRK Hulu Selangor

Membaca luahan pengundi-pengundi Hulu Selangor yang berkeras hendakan wakil UMNO menjadi calon dalam PRK di kawasan itu, saya semacam memahami apa yang terbuku dalam lubuk jiwa mereka. Ini bukan soal perkauman atau kepartian semata-mata seperti yang didakwa oleh pemimpin-pemimpin politik. Apa yang penting sebenarnya adalah mereka yang terpilih mewakili kawasan terbabit perlu berjiwa sebagai pemimpin yang universal. Mereka perlu menyedari bahawa mereka tidak semata-mata mewakili kaum mereka. Bukan juga hanya sebagai pemimpin yang mewakili parti mereka. Mereka perlu menjaga kebajikan seluruh rakyat di kawasan yang diwakili tanpa mengambil kira bangsa, anutan agama bahkan anutan politik. Sama ada rakyat itu cenderung kepada pembangkang atau kerajaan. Tetapi malangnya, hari ini apa yang berlaku, pemimpin-pemimpin yang kita ada tidak profesional. Tidak layak menjadi pemimpin. Jiwa dan raga mereka penuh dengan perasaan dendam. Penuh dengan perasaan pilih kasih. Kalau pemimpin-pemimpin yang ada di Malaysia mempunyai sikap sebagai pemimpin sejati, maka rakyat yang bernaung kepada mereka akan hidup aman dan sentosa. Tidak akan timbul sentimen kepartian, sentimen perkauman, sentimen keagamaan dan sebagainya. Saya pasti kalau parti-parti politik di Malaysia ini mampu melahirkan pemimpin sedemikian, saya percaya pemimpin itu mewakili parti mana sekalipun, dia pasti akan mendapat sokongan daripada pengundi-pengundi di kawasan terbabit.
Di kawasn Dun Melalap misalnya, oleh kerana pemimpin kawasan itu dari parti PBS maka pengundi-pengundi dari parti lain seperti UMNO, MCA, UPKO dan sebagainya, sukar mendapat layanan. Mereka sering kali diabaikan. Mereka ini satu komponen. Barisan Nasional. Bayangkanlah kalau penmgundi itu menyokong pembangkang, lagilah mereka tidak dipandang langsung oleh pemimpin jenis ini. Ini bermakna pemimpin jenis ini tidak boleh menjadi pemimpin dalam jankga panjang, cuma malangnya pengundi-pengundi negara kita tidak matang. Mereka mengundi berdasarkan sentimen kepartian, sentimen perkauman, sentimen keagamaan dan sebagainya. Dan bukan kerana kepimpinan individu itu. Justeru lahirlah pemimpin-pemimpin yang korup, yang pentingkan periuk nasinya semata-mata, yang penting bagi pemimpin jenis ini ialah kekal berkuasa.
Oleh kerana itulah jarang kita dengar pemimpin yang benar-benar mendapat sokongan daripada semua lapisan rakyat yang diwakilinya kerana mereka bukan pemimpin sejati. Mereka adalah pemimpin politik. Pemimpin yang penuh dengan sentimen politik. Mereka adalah pemimpin kaum. Pemimpin yang penuh dengan sentimen perkauman. Dalam erti kata lain, pemimpin jenis ini tidak adil. Pilih kasih. Akibatnya pasti timbul pelbagai kritikan dan keluhan terhadap kepimpinan mereka. Saya harap parti-parti politik di Malaysia perlu melahirkan pemimpin-pemimpin yang sejati. Pemimpin-pemimpin yang tidak terikat dengan sentimen semata-mata tetapi pemimpin yang mampu memimpin dan menjaga rakyat yang diwakili tanpa mengira anutan politik, agama, bangsa dan sebagainya.
Sekian wassalam.

No comments: