Tuesday, August 17, 2010

Antara Najib Dan Pak Lah Siapa Yang Disukai Rakyat?




Antara Najib dan Pak Lah siapa yang lebih disukai oleh rakyat? Melihat gambar Najib dan penampilannya di khalayak umum yang sentiasa terersenyum, mungkin boleh kita katakan bahawa Najib adalah pemimpin yang lebih mesra dan lebih mudah didekati rakyat. Begitulah telahan awal jika kita tidak mengenal Perdana Menteri Satu Malaysia ini. Pak Lah pula nampak lebih serius dan seakan-akan sukar didekati rakyat. Bahkan senyuman bekas Perdana Menteri Islam Hadhari ini tidak manis dan gagal mempesonakan hati rakyat.

Namun begitu dari segi pentadbiran dan pendekatan mentadbir negara, nampaknya Pak Lah mendahului Najib. Pada peringkat awal kekuasaannya, Pak Lah telah menggembirakan seluruh kakitangan kerajaan dengan menaikkan gaji mereka 10%. Ini ditambah dengan kenaikan elaun khidmat awam. Kecerian kakitangan kerajaan itu juga bertambah dengan pengurangan potongan KWSP dari 11% kepada 9 %. Selain kakitangan kerajaan, kontraktor juga berasa ceria dengan adanya sistem cabutan yang diperkenalkan dalam zaman Pak Lah. Maka kuasa beli kakitangan kerajaan bertambah dan pastinya hidup mereka bertambah selesa. Maka merasalah juga kontraktor-kontraktor yang sukar mendapatkan projek sebelum ini. Begitulah betapa manisnya kehidupan pada waktu itu, meskipun Pak Lah tidak boleh menyaingi kehebatan Tun Mahathir dalam mendahulukan rakyat namun pada awal pentadbirannya, rakyat amat menyukai beliau. Bahkan pilihan raya ke-11 memperlihatkan kepercayaan rakyat kepada Pak Lah bila mana BN mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya tersebut.
Pak Lah seorang pemimpin yang prihatin dan menyayangi rakyatnya. Begitulah tanggapan awal rakyat. Pendekatan beliau yang lembut dan berhemah amat disukai bukan sahaja oleh rakyat bahkan pemimpin-pemimpin pembangkang. Namun keadaan itu tidak berpanjangan apabila pelbagai tuduhan dan kecaman dilemparkan kepada beliau. Kelembutan beliau diambil kesempatan oleh musuh-musuh politiknya. Saya fikir pemimpin-pemimpin UMNO juga tidak ikhlas untuk memberikan pandangan dan bantuan kepada beliau. Pak Lah nampak bersendirian dalam zaman kegelapan pentadbirannya. Pelbagai isu ditimbulkan sama ada oleh pihak pembangkang mahupun ahli-ahli UMNO sendiri untuk menjatuhkan beliau. Antaranya beliau dikatakan menyerahkan kepada ahli-ahli di tingkat 4 Putera Jaya untuk membuat keputusan khususnya yang berkaitan dengan dasar dan pentadbiran negara. Dan perkara ini pula diperbesar-besarkan oleh beberapa pihak khususnya mereka yang menjadi seteru politik beliau khususnya dalam parti UMNO itu sendiri. Pengaruh tingkat 4 dan keadaan ekonomi yang tidak stabil menyebabkan kepimpinan Pak Lah mula goyah. Dasar yang beliau bawa mula berubah-ubah. Nampak sangat seakan-akan beliau tiada keyakinan diri. Sekejap itu sekejap ini, dan akhirnya kebencian rakyat kepada beliau membuak-buak apabila beliau tersilap langkah menaikkan harga minyak secara mendadak. Keadaan pada waktu itu amat panas. Rakyat sangat marah kerana kenaikan harga minyak itu telah menyebabkan kenaikan harga barang antara 20-30% sedangkan kuasa beli rakyat masih ditakuk lama. Dan natijahnya, sokongan rakyat terhadap beliau dan BN merosot dalam pilihan raya ke-12. Maka hilanglah majoriti 2/3 Barisan Nasional di Parlimen. Dalam keadaan demikianlah Najib dan pengikutnya mendesak agar Pak Lah melepaskan jawatan.
Tambahan pula susuk Anwar Ibrahim sudah bebas dari hukuman penjara maka tercatatlah lagi era baru poltik tanah air. Kehadiran Anwar Ibrahim, pemimpin yang mempunyai karisma yang sukar dipertikaikan telah menjadi ancaman kepada kepimpinan Pak Lah, UMNO dan Barisan Nasional. Hujah-hujah yang diketengahkan Anwar untuk mentadbir negara dan meringankan beban rakyat ekoran krisis ekonomi dunia telah memikat hati rakyat jelata. Kehadiran semula Anwar Ibrahim dalam politik tanah air menjadi salah satu faktor yang memperkasa keutuhan ikatan Dap, Pas dan PKR. Kerjasama yang dijalinkan bertambah kukuh dan mantap. Keadaan ini menyebabkan pemimpin-pemimpin UMNO bertambah resah dan gelisah. Kelembutan Pak Lah terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang tidak mereka senangi. Pak Lah yang masih terkejut dengan keputusan pilihan raya 2008 hilang keyakinan diri dan akur kepada tuntutan kumpulan Najib dan Muhyiddin. Maka akhirnya turunlah Pak Lah. Bahkan mereka yang berikrar akan mencalonkan Pak Lah sebagai presiden UMNO dalam pemilihan UMNO yang lalu berpaling tadah dan memberikan sokongan mereka kepada Najib. KJ yang lantang bersuara tentang sesuatu isu tidak dapat membantu beliau bahkan KJ menjadi liabiliti kepadanya. Kerana KJ juga beliau dijauhi oleh pemimpin-pemimpin UMNO lain. Pak Lah mereka khianati. Begitulah rupa dan bentuk "kesetiaan" orang politik. Setia kepada individu itu bila dia berkuasa tetapi sebaliknya jika kuasa hilang maka kesetiaan itu pun akan hilang juga. Kasihan Pak Lah. Satu-satunya pemimpin UMNO yang tidak pernah menghulurkan gula-gula kepada perwakilan untuk mengundinya. Pak Lah dalam kekuasaannya sentiasa dikelilingi oleh mereka yang sedia menunggu peluang untuk menjatuhkannya. Dan oleh kerana itu beliau sukar membuat keputusan yang terbaik untuk mentadbir negara walaupun di kelilingi pemimpin-pemimpin utama UMNO.

No comments: