Wednesday, August 25, 2010

Tahniah Kepada Kerajaan Persekutuan.




Assalamualaikum. Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan Datuk Seri Najib kerana akhirnya mendengar keluhan kakitangan kerajaan yang agak terbeban dengan pelbagai kenaikan kos hidup hari ini akibat dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan. Tahniah kerana mampu memahami keperitan rakyat, tidak kira sama ada pemberian bonus itu berdasarkan keinsafan dan keikhlasan untuk membantu rakyat atau dek kerana rasa malu terhadap kerajaan Pakatan Rakyat khususnya Pulau Pinang yang dilihat lebih prihatin dan dikatakan lebih mementingkan kebajikan rakyatnya. Saya harap pemberian bonus sempena Aidil Fitri itu tidak berhenti setakat itu sahaja. Pemberian bonus 2 bulan gaji sebagaimana yang dituntut oleh Cuepacs seharusnya diberikan perhatian. Tuntutan Cuepacs memang berasas kerana pertubuhan yang menjadi lidah kepada seluruh warga kakitangan awam hari ini sememangnya memahami keperitan yang ditanggung oleh kakitangan kerajaan ekoran kenaikan minyak yang telah memberikan impak yang besar kepada mereka yang sekali gus telah meningkatkan kos hidup rakyat seluruhnya.
Kalau Najib tidak berdaya meringankan bebanan rakyat hari ini termasuk kakitangan kerajaan, dijangkakan bahawa kekalahan yang teruk bekal BN hadapi dalam pilihan raya umum Ke-13 kelak. Sebagaimana yang pernah saya sebutkan dahulu bahawa kakitangan kerajaan mempunyai pengaruh yang besar dalam mengubah pandangan masyarakat keseluruhannya terhadap kerajaan. Seorang kakitangan kerajaan yang pasif dan kurang berinteraksi dengan orang lain masih boleh mempengaruhi 5 atau 6 orang ahli keluarganya. Ini termasuklah isteri, anak-anak, keluarga sebelah isteri termasuk juga ibu bapanya. Bayangkanlah jika kakitangan kerajaan itu seorang yang mudah bergaul dengan masyarakat bawahan sudah pasti pengaruh dan pandangannya merangkumi jumlah rakyat yang lebih besar. Tambahan pula mereka ini adalah golongan yang celik maklumat. Oleh kerana itu, ahli-ahli politik tidak seharusnya memandang rendah terhadap peranan kakitangan kerajaan dalam menentukan hala tuju politik mereka. Dan oleh kerana itu juga, keluhan kakitangan kerajaan agar gaji mereka dinaikkan, perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya daripada kerajaan hari ini jika mereka ingin terus kekal berkuasa.
Saya pernah melihat reaksi dan respons kakitangan kerajaan apabila gaji, elaun dan kemudahan-kemudahan yang dinikmati oleh seorang menteri di Malaysia dipaparkan atau dimaklumkan kepada mereka. Betapa mereka merasa diperalatkan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan hari ini khususnuya mereka yang berada di tampuk kerajaan. Mereka bekerja keras untuk menyara diri dan keluarga tetapi dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin dilihat hidup bermewah-mewah dan tidak menghiraukan keperitan hidup mereka. Menteri menikmati segala kemudahan secara percuma. Bil air, elektrik, minyak, sewaan, kos sambutan perayaan, perubatan dan sebagainya dinikmati secara percuma. Tetapi rakyat biasa dan kakitangan kerajaan terpaksa berhempas pulas mencari wang dan rezeki untuk membayar semua kemudahan tersebut. Sudahlah semua kemudahan itu perlu dibayar, gaji mereka pula terlalu kecil dan tidak lagi sesuai dengan kos hidup pada hari ini. Oleh kerana itu saya amat bersetuju jika kerajaan Najib hari ini menaikkan gaji kakitangan kerajaan agar bebanan mereka dapat diringankan. Pak Lah pada awal pentadbirannya telah menikkan gaji kakitangan kerajaan dan hal ini telah melonjakkan sokongan rakyat secara keseluruhannya kepada mereka. Namun sokongan itu tidak berpanjangan bila Pak Lah menaikkan pula harga minyak secara mendadak. Kenaikan harga minyak itu telah menyebabkan kenaikan harga barang dan kos perkhidmatan.
Dari segi teorinya memanglah kenaikan gaji kakitangan kerajaan yang telah diberikan itu tidak memberi apa-apa makna kepada kakitangan kerajaan kerana kuasa beli mereka merosot. Bila kuasa beli mereka merosot, sudah pastilah mereka menabung dan kurang membeli-belah dan akibatnya kegelisahan kakitangan itu melebar pula kepada peniaga-peniaga yang mendapati barangan mereka tidak lagi laku. Keuntungan perniagaan merosot. Putaran ekonomi setempat menjadi perlahan. Inilah sebenarnya ke;lemahan besar yang dilakukan oleh Pak Lah.
Oleh kerana itu saya harap Perdana Menteri 1 Malaysia hari ini tidak mengikut jejak Pak Lah. Beliau sewajarnya menikkan gaji kakitangan kerajaan agar beban hidup mereka dapat diringankan dan dalam masa yang sama kitaran ekonomi setempat lebih rancak kerana kakitangan kerajaan inilah yang biasanya yang membeli-belah dan merancakkan ekonomi sesuatu tempat. Projek-projek mewah sewajarnya dikurangkan kerana mereka yang menerima keuntungan hanya segelintir sahaja dan ini tidak membantu merancakkan kitaran urusniaga setempat. Gaji kakitangan kerajaan naik bermakna peniaga-peniaga juga akan mendapat kesan positif. Orang kampung yang bergantug hidup kepada hasil pertanian juga mendapat kesan kerana pasaran produk mereka mendapat sambutan.

No comments: