Sunday, August 15, 2010

Pilihan Raya Tahun Depan? (Sambungan)



Keikhlasan pemimpin Pakatan Rakyat mentadbir negeri yang dimenangi serta membantu rakyatnya terus mengukuhkan keyakinan rakyat bahawa Pakatan Rakyat lebih baik berbanding BN. Justeru, media massa arus perdana yang terus memburuk-burukkan pemimpin Pakatan Rakyat tidak mendatangkan kesan kepada rakyat, sebaliknya rakyat membenci dan menjauhi akhbar itu.

Mengikut sumber-sumber tertentu ada desas desus yang mengatakan bahawa kemungkinan pilihan raya dewan undangan negeri diadakan serentak di seluruh negara tahun depan. Serentak dengan pilihan raya Sarawak. Ini cuma berita angin. Cadangan itu memang baik. Saya setuju kalau pilihan raya dewan undangan negeri dan parlimen diadakan secara berasingan. Pilihan raya yang kerap menguntungkan rakyat. Banyak prasarana yang dibina dan diperbaiki. Banyak peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan BN. Sebagai rakyat biasa saya memang mengalu-alukan keputusan ini.


Persoalannya, mengapa pilihan raya itu tidak serentak dengan pilihan raya parlimen? Jawabnya pasti ada udang disebalik batu. Pemimpin UMNO dan BN sedar bahawa mereka sudah ditolak rakyat, jika pilihan raya yang telus dan bersih diadakan mereka pasti bahawa hayat parti mereka akan berakhir, oleh itu sesuatu perlu dilakukan agar mereka terus kekal berkuasa. Saya fikir BN takut menghadapi saat-saat kejatuhan mereka secara total. Pilihan raya secara berasingan begini membolehkan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN belajar dan menilai sokongan rakyat terhadap mereka. Dalam keadaan mereka masih memegang kuasa di peringkat persekutuan, mereka masih boleh melakukan pelbagai kaedah dengan bantuan SPR, PDRM dan SPRM untuk merempas kerajaan negeri. Adun-adun Pakatan Rakyat yang menang dan tamak masih boleh dibeli, ditawarkan pelbagai jawatan, kerana sumber kewangan di peringkat persekutuan masih mereka kuasai. Bila ada wang macam-macam boleh dilakukan.

Begitulah kesimpulan yang boleh saya buat berdasarkan pandangan dan perbualan beberapa politikus di kedai-kedai kopi. Mungkin ada benarnya pandangan demikian, jika kita bandingkan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN di Perak. Sekali pun rakyat marah dengan perbuatan itu namun maklumlah Melayu mudah lupa. Lima tahun sejuklah ia. Macam-macam gula-gula diberikan kepada mereka, maka sejuklah hati rakyat. Inilah mungkin yang menjadi strategi pemimpin-pemimpin UMNO dan BN.

Pemimpin UMNO dan BN sebenarnya sudah lama sedar bahawa mereka sudah ditolak rakyat, namun mereka tidak gusar sedikit pun kerana mereka masih ada SPRM, SPR, PDRM dan badan kehakiman yang boleh menyelamatkan kuasa mereka. Kerajaan PBS di Sabah dalam era 80-an dahulu adalah kerajaan yang terbentuk kerana perasaan tidak puas hati terhadap ketidakadilan kerajaan persekutuan terhadap rakyat Sabah. Kerajaan tersebut terbentuk dengan perasaan benci yang membuak-buak terhadap kerejaan persekutuan. Tetapi hari ini, rakyat Sabah adalah antara penyokong kuat kerajaan BN , kerajaan yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Pemimpin-pemimpin UMNO yang dibenci suatu ketika dahulu. Mengapa ini berlaku? Sudah pastilah bumiputera juga mudah lupa sperti mana Melayu mudah lupa. Setelah pemimpin-pemimpin BN bertungkus lumus mentadbir Sabah dalam keadaan dana yang tidak mencukupi kerana bantuan kewangan persekutuan disalurkan kepada JPPS, maka akhirnya pemimpin-pemimpin Sabah termakan juga dengan pujukan pemimpin-pemimpin pusat agar berpihak kepada mereka. Oleh kerana itu pemimpin-pemimpin tamak PBS berlumba-lumba menubuhkan parti baru untuk menyertai BN, maka tertubuhlah parti SAPP, UPKO dan PBRS. Setelah menyertai BN, pemimpin-pemimpin ini menjadi kaya raya dan lupa diri termasuklah parti PBS yang suatu ketika dahulu memperjuangkan Sabah For Sabahan. Gula-gula dan umpan yang ditaburkan kerajaan persekutuan telah berjaya meredahkan kebencian mereka terhadap kerajaan persekutuan yang diterajui Mahathir Mohammad. Inilah mungkin strategi yang difikirkan oleh UMNO dan pemimpin BN untuk mengekalkan kuasa mereka.

Sebagai rakyat biasa yang inginkan perubahan dan cintakan pemimpin yang jujur, telus, beramanah dan ikhlas, saya harap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat lebih berhati-hati ketika memilih calon. Pakatan Rakyat juga perlu berhati-hati dengan pelbagai perangkap yang diatur oleh kerajaan BN. Mereka perlu bersatu hati menentang kezaliman BN. Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sewajarnya membantu Anwar Ibrahim menghadapi konspirasi liwat yang dihadapnya. Percayalah bahawa pilihan raya tidak mungkin diadakan selagi susuk Anwar Ibrahim bebas berceramah, bebas perpolitik dan menelurkan pendapat serta mendedahkan pelbagai kebobrokan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin BN dan UMNO. Masuknya Anwar Ibrahim ke penjara Sungai Buluh, bermakna pilihan raya akan diadakan. Kita tunggu dan lihat.

Wallahu alam bisawab.

No comments: