Wednesday, August 18, 2010

Tahniah Kerajaan Pulau Pinang


Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pulau Pinang yang diterajui Lim Guan Eng kerana lebih ke hadapan apabila memberikan bonus raya kepada kakitangan kerajaannya sebelum sambutan hari raya tahun ini.

Sekalipun diburuk-burukkan oleh media dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional, Lim tetap dengan dasar-dasar pakatan rakyat yang lebih mengutamakan kebajikan rakyat. Kita harap tindakan Lim ini akan menjadi ikutan kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Sebagai rakyat yang prihatin terhadap kakitangan kerajaan, saya juga berharap kerajaan persekutuan mengambil langkah yang sama untuk meringankan beban kakitangan kerajaan sempena sambutan Aidil Fitri tahun ini. Jangan menjadikan alasan kewangan kerajaan yang tenat untuk mengelakkan daripada memberikan bonus kepada kakitangan kerajaan yang jelas terbeban dengan dasar kerajaan hari ini. Banyak kakitangan kerajaan yang diam dan menyepi tetapi dalam masa yang sama harapan mereka untuk mendapatkan bonus amat tinggi. Keceluparan Khairy Jamaluddin semasa era Pak Lah yang menyatakan bahawa kakitangan kerajaan tidak penting, telah menyebabkan sokongan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional merosot. Tindakan Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada kakitangan kerajaan dibalas dengan kekalahan kerajaan Barisan Nasional di Selangor. Begitulah kuatnya pengaruh sokongan kakitangan kerajaan untuk menentukan nasib pemimpin-pemimpin politik.
Dalam era kerajaan Najib hari ini, bonus yang paling tinggi diberikan ialah RM500 sahaja. Itu pun dibayar dua kali. Betapa kedekutnya kerajaan beliau dengan pemberian bonus yang begitu kecil berbanding kenaikan harga barang dan kos hidup hari ini. Tidakkah ini memalukan mereka? Kerajaan Pulau Pinang yang baru ditadbir beberapa tahun oleh Pakatan Rakyat, sudah mampu memberikan bonus kepada kakitangannya. Ini mencerminkan bahawa pengurusan kewangan Kerajaan Pakatan Rakyat khususnya di Pulau Pinang lebih baik dan berkesan berbanding sebelumnya.
Oleh kerana itu Perdana Menteri harus menunjukkan teladan yang baik kepada Pakatan Rakyat dalam hal-hal menjaga kebajikan rakyat. Dan bukan sebaliknya. Ini kerana dari segi usia mentadbir negara dan negeri, kerajaan Barisan Nasional memang berpengalaman namun mengapa dari segi kewangan pengurusan mereka tidak berkesan. Apakah yang lebih utama bagi seorang pemimpin? Bukankah rakyatnya? Adanya rakyat maka adalah negara, adanya rakyat maka lahirlah pemimpin. Ini bermakna keutamaan pemimpin sepatutnya adalah kebajikan rakyatnya lebih-lebih lagi kakitangan kerajaan adalah golongan yang menggerakkan pentadbiran negara. Bagaimana mereka menjadi produktif jika mereka terus dibebani dengan perbelanjaan yang terus meningkat? Jika beban mereka meningkat maka jalan penyelesaiannya ialah mencari sumber luar. Maka terabailah tugas mereka. Maka berleluasalah juga amalan rasuah dan pecah amanah. Oleh kerana itu tidak hairanlah jika gejala rasuah terus meningkat dalam kalangan kakitangan kerajaan. Dahlah mereka dipaksa bekerja keras, gaji yang ditawarkan tidak sesuai dengan kos hidup masa kini. Gaji mereka masih ditakuk lama, sebaliknya menteri dan pemimpin terus hidup bermewah-mewah dan menikmati pelbagai kemudahan secara percuma. Inilah realiti kehidupan rakyat di bawah kekuasaan kerajaan Barisan Nasional.

No comments: