Wednesday, August 18, 2010

Antara Najib Dan Pak Lah Siapa Yang Lebih disukai Rakyat? (Sambungan)



Kalau Pak Lah muncul sebagai perdana menteri dengan reputasi yang bersih, sehingga mendapat jolokan sebagai MR. CLEAN, Najib pula dikaitkan dengan pelbagai isu berat sebelum menjadi perdana menteri. Namun kerana beberapa perkara yang dilakukan oleh Najib kepada warga Felda semasa menjadi timbalan perdana menteri, ramai yang berpendapat bahawa Najib akan lebih mesra rakyat berbanding Pak Lah. Namun jangkaan itu meleset sama sekali. Rupa-rupanya indah khabar dari rupa. Najib dilihat cuma berpura-pura prihatin terhadap rakyat. Tindakan beliau yang selalu turun ke padang bersama rakyat rupa-rupanya tidak lebih dari kepura-puraan, semata-mata untuk menarik sokongan rakyat. Hakikatnya, sepanjang beliau menjadi perdana menteri, belum ada satu perkara pun yang mampu mengembirakan seluruh rakyat. Ketika Pak Lah melepaskan jawatan sebagai PM, rakyat masih panas dan benci dengan kerajaan kerana menaikkan harga minyak secara mendadak. Jangkaan rakyat setelah Najib turun, kemungkinan harga itu akan turun dan tidak membebankan rakyat seperti mana dalam zaman Mahathir dahulu.
Pada zaman Mahathir, walaupun beliau amat dibenci oleh sesetengah pihak khususnya pemimpin-pemimpin pembangkang, namun rakyat terus menyokong beliau kerana rakyat tidak kesempitan hidup. Hidup rakyat tidak dibebankan dengan kos kenaikan harga barang. Seingat saya harga minyak dinaikkan sekitar 3 sen hingga 30 sen. Tetapi kenaikkan itu tidak sampai menjadikan rakyat terbeban dan mengeluh. Hari ini, rakyat amat terbeban dan tertekan. Kos hidup rakyat meningkat. Banyak pihak yang cuba memberikan pandangan tentangan kenaikan ini tetapi nampaknya Najib tetap memekakkan telinga. Dahlah kos hidup meningkat sejak pentadbiran Pak Lah, jadinya Najib sebagai perdana menteri, maka bertambahlah lagi bebanan rakyat. Bukan mengurangkan harga minyak sebaliknya pentadbiran Najib menaikkan lagi harga minyak dan gula. Rakyat sebenarnya tidak mahu ambil tahu dan tidak kisah siapa pun mentadbir negara, pokoknya hidup mereka perlu selesa, bukan terbeban dan dibebankan lagi.
Selain rakyat berpendapatan rendah; petani, peniaga kecil-kecilan, kumpulan sokongan bahkan mereka yang bergelar di gred A khususnya dg41 dan dg44 yang kononnya bergaji ribuan ringgit turut mengeluh dan resah dalam zaman Najib Razak ini. Ternyata kemunculan Najib sebagai Perdana Menteri hanya menambahkan kebencian yang meluap-luap rakyat terhadap kerajaan BN. Beliau bukan sahaja tidak prihatin terhadap kakitangan kerajaan bahkan dilabelkan sebagai pemimpin yang hipokrit. Cakap lain buat lain. Cakap rakyat didahulukan, tetapi hakikatnya rakyat dahululah yang menderita akibta dasar beliau.
Kebencian rakyat terhadap sikap beliau ditambah lagi dengan kekejaman dan keagrsifnya terhadap pelbagai pihak yang dilihat menjadi seterunya, khususnya pemimpin-pemimpin pembangkang. Bahkan Najib dilihat lebih sibuk menekan dan menindas pemimpin pembangkang berbanding mentadbir negara. Agensi-agensi kerajaan seperti PDRM, SPRM, SPR semakin agresif dan diperalatkan secara total oleh kerajaan Najib untuk menekan rakyat yang bangun menentang pelbagai dasar kerajaan. Lihatlah bagaimana jatuhnya kerajaan Perak dan kejatuhan itu tidak lebih daripada cerminan kekejaman dan zalimnya kerajaan persekutuan Najib. Oleh kerana itu, saya fikir Pak Lah masih ada ruang untuk memenangi hati rakyat andainya dia diberikan ruang untuk terus menjadi perdana menteri, tetapi Najib dikatakan tidak ada lagi ruang untuk meraih sokongan rakyat untuk memenangi PRU ke-13 melainkan dengan taktik kotor dan keji dengan bantuan SPR.
Kerajaan Najib juga dilihat terlalu mementingkan golongan korparat berbanding rakyat. Subsidi rakyat miskin ditarik sebaliknya subsidi golongan kaya terus diberi. Apa yang jelas terlalu banyak kepura-puraan dalam pentadbiran Najib Razak ini. Menteri serta barisan kabinetnya tidak ikhlas membantu rakyat jelata. Kakitangan awam sering merayu memohon bonus tahunan tetapi jangan mimpi. Perdana menteri 1 Malaysia tidak mungkin akan melayan tuntutan itu. Tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat khususnya kerajaan Pulau Pinang yang bercadang memberikan bonus raya kepada kakitangan kerajaannya. Tahniah.

No comments: