Sunday, October 10, 2010

Pilihan Raya Kecil Berlaku Kerana Kehendak-Nya.

PRK terus berlaku di seluruh negara sejak PRU ke-12 lalu. PRK yang kerap akan terus menjadi gelanggang kepada UMNO atau BN dan Pakatan Rakyat. Dari satu sudut,  PRK ini amat menguntungkan Pakatan Rakyat sebaliknya menjadi badi dan igauan ngeri bagi Barisan Nasional khusunya UMNO. Mereka bagaikan fobia dengan PRK yang berterusan. Almaklumlah setiap PRK diadakan maka sejuta janji ditaburkan oleh pemimpin UMNO dan BN sehingga tidak tertunai segala janji itu. Hal ini menjadi bukti bahawa BN dan UMNO sejak dahulu memang suka menabur janji dan kemudiannya melupakan janji itu apabila pilihan raya sudah berakhir. Penipuan dan janji kosong terhadap rakyat semasa pilihan raya umum tidak ketara atau mungkin sukar dikesan oleh rakyat seluruh negara kecuali masyarakat setempat yang mengetahui hakikat sebenar kerana media biasanya memutar belitkan fakta yang diterima atau tidak menyiarkan sesuatu perkara sekiranya insiden itu memberikan kesan negatif kepada pemerintah sekiranya dilaporkan dengan tepat, tetapi PRK ini benar-benar mencemaskan UMNO dan BN kerana janji kosong mereka akan terbongkar sebagaimana PRK yang lepas-lepas. Media arus perdana tidak dapat lagi menipu rakyat kerana bloger-bloger juga berkampung di kawasan PRK. Gambaran palsu yang diberikan oleh pemimpin dan media terhadap sesuatu insiden dalam PRK sebagaimana di Sibu tidak lagi akan ditelan bulat-bulat oleh pembaca khususnya rakyat di kawasan lain. Hal ini kerana mereka lebih percaya terhadap bloger-bloger khususnya bloger yang berkecuali dan tidak terikat dengan sentimen kepartian yang membuat laporan yang lebih telus dan tidak bias.  
     Demikianlah balasan Allah terhadap pelbagai penyelewengan pemimpin-pemimpin pemerintah hari ini. Satu demi satu pengkhianatan pemimpin pemerintah terbongkar. Yang anehnya, pemimpin-pemimpin UMNO terus dibuai mimpi. Strategi lama yang menjadi kebencian dan rasa jijik rakyat terhadap mereka terus menjadi senjata ampuh untuk terus berkuasa. Pemimpin-pemimpin UMNO terus bertindak keji dan memburuk-burukkan pihak lawan, walhal kaedah itu amat menjijik dan memuakkan. Mislanya, sebut sahaja PRK Dun Galas, maka timbullah laporan tentang Anwar Ibrahim. Apakah mereka masih menyangka bahawa rakyat hari ini masih terlalu bodoh? Percayakah rakyat dengan strategi yang usang dan lapuk itu? Zaman Mahathir bolehlah..rakyat boleh ditipu bulat-bulat. Hari ini sekiranya UMNO hendak kekal berkuasa, mereka patut tahu bahawa strategi memburuk-burukkan Anwar Ibrahim dan pemimpin Pakatan Rakyat tidak lagi berkesan. Sebaliknya tindakan itu hanya menceritakan kejelikan dan kebusukan sebenar pemimpin-pemimpin itu. Alangkah baiknya kalau pemimpin-pemimpin BN insaf dan sedar dan yang penting melupakan strategi yang lapuk itu. Orang yang tidak tahu dosa dan pahala sahaja akan menyokong mereka. Ahli-ahli UMNO macam saya pun sudah mula berfikir dua kali untuk memberikan undi kepada BN pada masa akan datang. Apatah lagi mereka yang berada di atas pagar.
    Oleh kerana itu pemimpin-pemimpin BN haruslah berbuat baik. Lakukanlah kebajikan dan kebaikan. Tidak perlulah memburuk-burukkan sesiapa manalah tahu kebaikan itu akan dibalasan dengan kebaikan oleh Allah. Hati rakyat Malaysia akan dibuka untuk menyokong mereka. Pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO khususnya perlu kembalikan kepada ajaran Allah. Tidak perlulah mengaibkan orang. Orang sekarang lebih bijak dan pandai berfikir. Pemimpin-pemimpin tertinggi juga perlu mengawal pemimpin-pemimpin bawahan. Lihat sahajalah tindakan pemimpin UMNO untuk menentang kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. Betapa tindakan pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat negeri itu memakan diri. Saya cadangkan agar pemimpin-pemimpin  UMNO mendiamkan diri, biar rakyat yang membuat penilaian dan penghakiman tentang kerajaan Pakatan Rakyat. Cuba lihat Anwar Ibrahim yang diburuk-burukkan UMNO. Bukan sokongan makin merudum bahkan rakyat makin kagum dengan sikap Anwar Ibrahim yang tidak mudah gelabah dan menagarut membalas tindakan pemimpin-pemimpin kerajaan. Saya fikir pemimpin-pemimpin UMNO perlu mencontohi beliau. Dan bukan mudah melatah.

No comments: