Monday, March 22, 2010

Apakah Janji Pilihan Raya Datuk Raden Maleh Mampu Ditunaikan?



Inilah gambar Jambatan Binai yang menimbulkan kesulitan kepada rakyat Tenom. Jambatan ini seringkali menyebabkan kesesakan lalu lintas. Ekoran kesesakan itu menyebabkan ramai murid dan guru yang lewat ke sekolah. Jambatan ini adalah jambatan kilat yang dibina pada era kebangkitan Parti Berjaya.

Jambatan yang sempit dan satu lorong ini dibina secara tergesa-gesa dalam era pemerintahan Parti Berjaya ekoran insiden kereta yang jatuh daripada feri yang telah meragut nyawa seorang ibu yang berbadan dua bersama anaknya yang berumur 2 tahun. Atas Keprihatinan Datuk Harris Salleh, Ketua Menteri Sabah pada waktu itu, yang juga merupakan Adun Tenom, akhirnya siaplah Jambatan Binai dalam tempoh tidak sampai setahun. Dan pembinaan itu tidak pernah dijanjikan oleh kerajaan pada masa itu khususnya semasa pilihan raya.

Berbeza dengan wakil rakyat hari ini, Datuk Raden Maleh yang sudah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah lebih 20 tahun, tiada apa-apa pembangunan yang diperjuangkannya. Parti Keadilan dalam pilihan raya ke-12, mengungkitkan perkara ini bahawa tiada pembangunan selama 18 tahun semasa Datuk Raden Maleh menjadi Adun. Ramai berpendapat bahawa Datuk Raden Maleh bukan seorang pemimpin yang bijak merancang. Beliau hanya bijak meraih undi menggunakan isu sensitif agar rakyat di Kawasan Melalap yang kebanyakannya berbangsa Murut Timugon mengundinya. Beliau sering kali menghadiri upacara-upacara perkahwinan, keramaian dan pelbagai upacara lain sambil mendendangkan lagu-lagu Murut dan Lagu Dusun. Mungkin generasi tua berasa seronok melihatnya di atas pentas, tapi generasi muda muak melihat jenis pemimpin yang macam itu, Kehadirannya ke dalam sesuatu majlis tidak memberikan apa-apa makna lagi kepada generasi muda. Pernah dalam suatu majlis perkahwinan Datuk Raden Maleh tidak dijemput untuk berkaraoke. Maka frustlah agaknya beliau.

Apa yang disampaikan oleh pengacara muda dalam majlis tersebut bahawa menyanyi dan berkaraoke tidak lagi diperlukan untuk menghadapi alaf baru ini. Dalam pilihan raya akan datang kami rakyat Tenom berharap Datuk Raden Maleh tidak lagi dicalonkan. Ekoran dakwaan pembangkang dalam pilihan raya ke-12 bahawa tiada pembangunan sepanjang Datuk Raden Maleh menjadi Adun, maka beliau pun menaburkan pelbagai janji termasuk membina semula Jambatan Binai, mengusahakan agar penduduk-penduduk Kampung Paguokon, Kampung Manining, Kampung Pansailon, Kampung Paguokon Laut dan Paguokon Tengah dibekalkan dengan bekalan air pili. Kampung-kampung tersebut masih bergantung kepada bekalan air graviti sejak tahun 1980-an. Beliau juga berjanji kepada penduduk kampung Paguokon Ulu untuk membina jalan raya ke kawasan-kawasan perkebunan. Tetapi sehingga ke hari ini semua janji pilihan raya beliau belum ada satupun yang ditunaikan. Beliau juga berjanji dalam pilihan raya tersebut bahawa sekiranya Jambatan Binai tidak dibina maka beliau tidak mahu lagi melobi menjadi calaon dalam pilihan raya akan datang. Apakah beliau akan menunaikan janjinya?

Musa Aman pula memberikan keyakinan kepada rakyat Kawasan Melalap bahawa pembinaan jambatan Binai akan dipercepatkan. Lihatlah petikan ini


SABAH & SARAWAK
ARKIB : 02/08/2008

Isu status pekan kecil Melalap akan diselesaikan

TENOM 1 Ogos - Isu status pekan kecil Melalap yang berlarutan sejak sekian lama dijangka selesai selepas perbincangan dilakukan dengan sebuah syarikat yang memiliki ladang di kawasan ini, tidak lama lagi. Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, kerajaan negeri akan berusaha menyelesaikan isu tersebut yang turut membantutkan usaha membawa lebih banyak pembangunan di kawasan itu. ''Kita faham rakyat menanti penyelesaian kepada masalah ini dan kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan termasuk menemui pihak pemilik ladang tersebut," katanya. Beliau berkata demikian pada majlis mengenang jasa perjuangan mendiang Datuk OKK Sanggau Jalang di sini kelmarin. Pada majlis itu, beliau turut merasmikan Dewan Serbaguna Melalap yang dinamakan bersempena pejuang rakyat itu. Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Radin Malleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang; Ahli Parlimen Tenom, Raimie Unggi dan lebih 1,000 penduduk. Difahamkan masalah pembangunan di pekan tersebut berlaku berikutan status hak milik tanah yang masih belum dapat diselesaikan kerana dimiliki oleh ladang berkenaan.
Musa berkata, kerajaan negeri mengakui kawasan Melalap berpotensi untuk dimajukan kerana mempunyai sumber alam semula jadi sama ada untuk bidang pelancongan atau pertanian. ''Di sini terdapat pusat riadah seperti air terjun, Taman Pertanian Lagud Seberang dan juga Pusat Kebudayaan Murut yang tersergam indah," katanya.
Beliau berkata, projek pembinaan jambatan baru di Kampung Binai bagi menggantikan jambatan lama bernilai RM7 juta juga akan dipercepatkan selepas mendapat peruntukan daripada kerajaan Pusat.
Menyentuh mengenai Sanggau Jalang, beliau berkata, mendiang adalah antara pemimpin awal pada zaman penjajahan Inggeris yang banyak menyedarkan rakyat mengenai kepentingan pendidikan
.

Nampak sangat Musa Aman dan Datuk Raden Maleh sudah menyediakan jawapan sekiranya jambatan Binai yang baru tidak dapat dibina seperti yang mereka janjikan. Pasti akan kedengaran alasan bahawa kerajaan Persekutuan tidak memberikan peruntukan untuk membolehkan mereka menunaikan janji, sedangkan dalam pakaj rangsangan yang diumumkan tahun lalu kerajaan Sabah mendapat limpihan peruntukan yang besar berbanding negeri-negeri lain. Ke manakah peruntukan yang besar itu? Oleh kerana itu rakyat Sabah perlu menilai semula kedudukan pemimpin dan kerajaan yang ada pada hari ini.

No comments: