Tuesday, March 23, 2010

Sejarah Politik Tenom


Datuk Rubin Balang










Datuk Harris Salleh
Daerah Tenom meliputi dua kawasan DUN iaitu Melalap dan Kemabong. Dua kawasan DUN ini membentuk kawasan Parlimen P181 Tenom pada hari ini. Sejak merdeka hingga hari ini pemimpin pergi dan datang. Silih berganti. Untuk kawasan Dun Kemabong, pemimpin politik Murut yang terawal kalau tidak silap saya ialah mendiang Datuk Tingkalor. Beliau dikatakan mewakili parti bebas dan kemudiannya menyertai parti USNO. Dun Melalap diwakili oleh Datuk Sanggau, kalau tidak silap. Kedua-dua pemimpin itu berpengaruh dalam era USNO. Era USNO berakhir bila mana pucuk pimpinan parti itu berura-ura hendak membawa Sabah keluar dari Persekutuan Malaysia.
Era kerajaan USNO dan rakan-rakannya berakhir apabila Parti Berjaya mendapat sokongan yang kuat dari Persekutuan untuk membentuk kerajaan negeri. Kemenangan Parti Berjaya yang dipimpin oleh Tun Donald Stephen @ Tun Fuad Stephen itu membawa aspirasi baru kepada rakyat Sabah khususnya dari segi pembangunan. Malangnya, hasrat itu tidak tercapai kerana beliau terlibat dengan kemalangan helikopter yang bukan sahaja mengorbankan nyawanya bahkan juga anak Sulung beliau pada bulan Jun 1976. Teraju kepimpinan Parti Berjaya diambil alih oleh Datuk Harris Salleh. (1976-1985) Berbalik kepada sejarah Dun Kemabong, pada era kerajaan Berjaya, saya kurang pasti siapa yang menjadi wakil rakyat Kemabong dalam tempoh itu. Dun Melalap diwakili oleh Datuk Harris Salleh, yang juga Ketua Menteri Sabah pada waktu itu.
Kerajaan Berjaya tumpas dalam pilihan raya 1985 di tangan Parti Bersaatu Sabah (PBS). Dengan kejatuhan kerajaan Berjaya itu Dun Kemabong juga dipimpin oleh muka baru iaitu Datuk Laimon Laikim (1985-89), manakala Datuk Harris Salleh berjaya mempertahankan Dun Melalap. Walau bagaimanapun, Parti beliau tidak dapat membentuk kerajaan negeri kerana Parti itu hanya memenangi 6 kerusi sahaja, selebihnya dimenangi oleh Parti Bersatu Sabah yang telah berganding bahu dengan USNO untuk menumbangkan kerajaan Berjaya. Pelbagai insiden berlaku ketika itu, menyebabkan kerajaan Parti Bersatu Sabah membubarkan Dun dan mengadakan pilihan raya semula. Pilihan raya kali kedua menutup mulut pemimpin-pemimpin Parti Berjaya kerana keputusan pilihan raya itu menunjukkan mereka telah ditolak oleh rakyat.
Walau bagaimanapun, dalam zaman kekuasaannya, Datuk Harris Salleh telah berjaya membangunkan negeri Sabah. Negeri Sabah menjadi pengusaha pertanian yang produktif pada masa itu. Tanaman getah secara meluas melalui Lembaga Tabung Getah Sabah atau Lembaga Industri Getah Sabah hari ini, telah memberikan dimensi baru kepada rakyat Tenom. Skim LTG Lagud Seberang dan Kuala Tomani adalah usaha keras Datuk Harris Salleh. Sesungguhnya genarsi muda peneroka LTG Tenom hari ini dan rakyatr Tenom serta Sabah amnya sangat terhutang budi kepada Datuk Harris Salleh. Datuk Harris Salleh adalah seorang pemimpin yang ikhlas membangunkan negeri Sabah. Dearah Tenom dibangunkan dengan pesat walaupun beliau bukan dari suku kaum Murut.
Seiring dengan kemunculan Parti Bersatu Sabah itu (1985-1994), muncullah juga pemimpin-pemimpin muda Murut. Datuk Kadoh Agundong menjadi “giant killer” apabila menumapskan Datuk Harris Salleh, ketua menteri Sabah pada ketika itu. Datuk Laimon Laikim pula mewakili Dun Kemabong yang rata-ratanya berbangsa Murut Tagol. Maka timbullah isu Murut Timugon cuba menguasai Murut Tagol. Justeru, lahirlah muka baru dalam era politik Tenom. Esar Andamas (1989-1993) yang merupakan seorang guru menjadi wakil rakyat bagi kawasan Kemabong. Bagaimana beliau menjadi calon walhal beliau bukanlah penggiat politik yang aktif, ada cerita disebaliknya. Beliau terpaksa menjadi calon bidan terjun kerana Rubin Balang yang juga merupakan guru sandaran di SK Batu Tiningkang pada ketika itu tidak dibenarkan bertanding oleh pemimpin tertinggi PBS kerana krisis agama beliau yang saya fikir belum selesai secara total hingga ke hari ini. Beliau mendakwa tidak pernah memeluk Islam, manakala status isteri beliau yang beragama Islam masih menjadi tanda tanya hingga ke hari ini. Adakah isteri beliau yang merupakan anak seorang imam itu sudah murtad? Persoalan itu masih belum terjawab hingga hari ini. Namun, memandangkan beliau begitu licik dan bijak berpolitik, maka beliau akhirnya menjadi calon dalam pilihan raya pada tahun 1994. Sekalipun Bobby Suan yang dikatakan lulusan luar negeri menjadi seteru beliau, Bobby Suan dapat ditumpaskan meskipun Datuk Rubin hanya lulusan SRP. Pada tahun 1994 itu juga, beliau sekali lagi mengejutkan politik Sabah apabila menyertai UMNO bersama Datuk Lajim Ukin, maka tumpaslah kerajaan Parti Bersatu Sabah pada ketika itu. Kemenangan UMNO itu membolehkan persempadanan semula dilakukan, maka dalam pilihan raya berikutnya, kerusi PBS merosot dan UMNO menjadi parti dominan sekalipun sistem penggiliran ketua menteri sabah dilaksanakan. Sistem penggiliran itu memperlihatkan betapa pucuk pimpinan parti komponen Barisan Nasional begitu ghairah menjadi ketua menteri.
Dalam era UMNO itu, Dun Kemabong dapat dipertahankan oleh Datuk Rubin Balang hingga ke hari ini. Sekalipun agama beliau menjadi kritikan hebat dalam kalangan rakyat namun pemimpin tertinggi UMNO tetap memekakkan telinga. Datuk Raden yang mewakili Murut Timugon mengekalkan kerusi PBS. Hal ini memang dijangka kerana sikap Murut Timugon yang secara keseluruhannya masih tertutup. Semangat kesukuan masih tinggi. Manakala isu agama pula menjadi isu sensitif yang membantu PBS memenangi beberapa kerusi. Sejarah hitam penganut Kristian dalam era kerajaan USNO dan Berjaya menyebabkan merek fobia terhadap pemimpin Islam. Datuk Raden mengekalkan kerusi Dun tetapi kerusi Parlimen terlepas ke tangan Datuk Rizalman Abdullah. Datuk Rizalman Abdullah menjadi MP UMNO yang paling singkat perkhidmatannya kerana hanya satu penggal sahaja beliau menjadi ahli parlimen. Dalam pilihan raya berikutnya beliau tidak dicalonkan kerana Datuk Rubin Balang menentang pencalonannya. Beliau digantikan oleh Raimi Unggi.
Namun, semasa menjadi MP banyak pembangunan yang telah dilaksanakan oleh beliau. Pasar tamu telah dinaik taraf. Beliau juga bertanggungjawab membawa Giat Mara ke Tenom kerana semasa menjadi MP beliau adalah setiausaha Kementerian Pembangunan dan Keusahawanan sebelum ditukar ke Kementerian Penerangan. Parti UMNO pada masa itu dicemburui oleh parti-parti komponen lain. Justeru, dalam pemilihan UMNO berikutnya Datuk Rizalman dapat mempertahankan jawatan ketua Bahgian UMNO Tenom kerana beliau memang seorang pemimpin politik yang berpengalaman. Berlakulah konflik yang berpanjangan antara pemimpin-pemimpin UMNO dan wakil-wakil rakyat UMNO, Datuk Rubin Balang dan Yb Raimi Unggi jarang menghadiri mesyuarat UMNO Bahagian. Pilihan raya berikutnya, Datuk Rubin terus menjadi sandaran UMNO di Kemabong walaupun terdapat pelbagai keluhan daripada raklyat bawahan menghendaki beliau digantikan dengan orang lain. Tetapi oleh kerana UMNO terhutang budi kepadanya kerana menjadi katak, maka beliau terus dikekalkan. Raimi Unggi pula terus diberi peluang untuk penggal yang berikutnya walaupun pelbagai janji beliau kepada rakyat tidak ditunaikan. Bahkan beliau dikaitkan dengan ungkapan YB Lango yang bermaksud YB ipar. Hal ini timbul kerana segala projek kerajaan khususnya peruntukan parlimen diserahkan kepada ipar-iparnya. Kita tunggu pilihanraya ke-13, apakah akan ada perubahan? Jika dibandingkan Ahli Parlimen hari ini dengan pemimpin yang lepas-lepas maka sperti Datuk Rizalman Abdullh, nampak sangat perbezaannya. Ahli Parlimen hari ini tiada apa-apa yang membanggakan. Bahkan kebanyakan orang kanan dan yang menjadi penyokong kuatnya dahulu telah meninggalkannya. Hal ini kerana beliau merupakan seorang yb pemungkir janji. Semua yang dikatakannya 60 peratus yang tidak benar. Mengapa beliau menang dalam PRU ke-12 yang lalu? Kerana rakyat Tenom masih setia kepada Barisan Nasional. Namun tiada jaminan bahawa rakyat Tenom akan terus setia kepada Barisan Nasional jika pemimpin jenis ini terus dikekalkan.
Adun Melalap pula, Datuk Raden Maleh dikatakan bagai surat khabar lama. Dalam pilihan raya ke-13, bermakna sudah 23 tahun Datuk Raden menjadi wakil rakyat Tenom. Setiap kali lahirnya pemimpin di daerah ini, pasti ada sesuatu yang dtinggalkan mereka yang menjadi sebutan dan kebanggaan masyarakat setempat. Tetapi Datuk Raden Maleh sehingga hari belum ada nampak apa-apa sumbangan di mata rakyat. Jika berakhir kerjaya politiknya dalam PRU ke-13 kelak, maka Datuk Datuk Raden Maleh bakal dilupakan selamanya. Datuk Harris Salleh, banyak tinggalannya kepada rakyat Tenom. LIGS, Kompleks Sukan Tenom, KPD Kampung Manining, Jambatan Binai, dan sebagainya yang tidak mungkin saya akan sebut semuanya. Melihat Rumah Kebudayaan Murut di Pulong, maka orang akan teringat Datuk Kadoh Agundong. Datuk Kadoh Agundong adalah seorang pemimpin yang penyayang dan pemurah. Ini berlawanan dengan sikap Datuk Raden yang kedekut dan lokek. Manakala Pasar tamu yang cantik dan Giat Mara jika menjadi perbualan, akan mengingatkan rakyat Tenom kepada Datuk Rizalman Abdullah.Beliau juga merupakan pemimpin yang pemurah dan mudah menghulurkan bantuan kepada orang-orang bawahannya. Rakyat Tenom begitu rindu terhadap kepimpinan mereka. Taman Pertanian Sabah pula merupakan cadangan Datuk Kadoh Agundong tetapi Datuk Rubinlah yang berusaha merealisasikannya, meskipun beliau adalah Adun yang amat kontroversi. Datuk Laimon Laikim, Datuk Raden Maleh dan Datuk Raimi Unggi pasti akan dilupakan oleh rakyat Tenom selamanya kerana tiada yang membanggakan dari mereka. Oleh kerana itu, kita berharap agar Datuk Raden dan Raimi menggunakakan peluang yang diberikan oleh rakyat kepada mereka sebaik-baiknya. Bukan mengambil peluang memperkayakan diri dan keluarga sebaliknya memberikan khidmat bakti yang diperukan oleh rakyat Tenom secara keseluruhannya. Bukan setakat pembangunan yang rutin seperti membina pondok bas, rumah kebudayaan, jalan raya dan sebagainya tetapi fikirkanlah sesuatu program yang akan dikenang oleh reakyat selamanya. Masalah bantuan rumah miskin hingga ke hari belum selesai. Bahkan mereka dikatakan tiada kajian dan catatan berapa keluarga yang tergolong sebagai miskin tegar daerah Tenom. Mereka terlalu bergantung kepada laporan pejabat daerah Tenom yang ada kalanya tidak tepat dan meleset. Maklumlah, mereka juga bergantug kepada laporang JKKK kampung. Kita tunggu dan lihat, hanya masa dan waktu yang akan mementukannya.




Sekian wassalam. Wallahualam bisawab. Hanya Allah yang lebih mengetahui










No comments: