Thursday, March 25, 2010

Pemimpin-pemimpin UMNO perlu cool.

Assalamualaikum semua.

Sebagai ahli UMNO, saya ingin berkongsi perasaan dengan pemimpin-pemimpin UMNO. Itupun jika mereka mahu mendengar pandangan rakyat biasa. Perlakuan pemimpin UMNO yang kerap disajikan kepada rakyat melalui media memperlihatkan mereka bertindak "ganas" dan agresif terhadap seteru mereka. Walaupun mereka cuba lempar batu sembunyi tangan, tapi rakyat dah tahu semuanya. Bila agensi kerajaan seperti SPRM, PDRM, badan kehakiman dan pelbagai agensi lain bertindak melulu, semuanya itu mencerminkan diri pemimpin-pemimpin UMNO. Persepsi kami ialah semua agensi kerajaan itu mengikut telunjuk kerajaan. Mereka tidak berkecuali. Agensi lain mungkin tidak nampak, tetapi SPRM, PDRM, dan badan kehakiman amat jelas terlalu bias dan berat sebelah. Terbaru, daripada kenyataan Zulkifli Nordin sahaja, KPN Musa Hassan cepat sangat mengeluarkan kenyataan akan membuat siasatan. Bagaimana dengan laporan yang telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin pembangkang? Hingga hari ini tidak kedengaran.

Saya ambil lagi satu contoh, betapa agensi dan jabatan-jabatan kerajaan diperalatkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Pada tahun 2008 atau 2009 kalau tidak silap saya, ketika rakyat secara agresif menentang pelaksanaan PPSMI, tiba-tiba keputusan SPM dalam subjek Sains dan Matematik meningkat secara mendadak. Keputusan Bahasa Inggeris juga meningkat. Kerajaan Barisan Nasional yang memperkenalkan dasar itu cuba memperlihatkan bahawa PPSMI itu kononnya telah berjaya. Subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris meningkat. Beberapa orang guru yang sempat saya temui juga terkejut bagaimana pelajar yang tidak menguasai 3M boleh lulus dalam subjek-subjek tersebut. Ini memperlihatkan betapa agensi-agensi kerajaan hari ini menjadi alat UMNO dan BN.

Peristiwa terbaru yang mungkin pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional fikir mampu menjatuhkan pembangkang ialah kenyatan Zulkifli Nordin tentang fitnah dan habuan yang ditawarkan kepadanya. Maka berbondong-bondonglah pengampu UMNO membuat laporan polis. Rakyat macam kami hanya mendengar, mengikut tapi kami tidak percaya. Benar kata Mohd Sayuti Omar.Semuanya lakonan yang sudah diatur. Pengarahnya tentulah Najib dan pemimpin-pemimpin UMNO hari ini. Ingat kami akan menyokongkah perbuatan-perbuatan macam itu? Sebenarnya kami bertambah takut. Takut bersengkongkol dan berkongsi fitnah dengan pemimpin-pemimpin macam itu. Justeru, kalau ini berterusan, saya, keluarga dan sanak saudara insyallah tidak akan lagi mengundi BN dalam pilihan raya akan datang. Takut dapat share dosa fitnah yang ditaburkan secara berleluasa oleh BN.

Satu perkara lagi, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim diperlakukan sedemikian rupa, ditekan, difitnah, didakwa maka perbuatan-perbuatan pemimpin-pemimpin UMNO itu sebenarnya membantu mempopularkan DSAI. Tanyalah kakitangan kerajaan, tanyalah penoreh getah, tanyalah siapa sahaja, yang tidak terikat dengan anutan politik sempit. Adakah benar dakwaan kerajaan kepada DSAI? Mereka kata "Skrip itu sudah disediakan lebih awal". Semua kenyataan sama ada bekas pemimpin PKRkah, kenyataan pemimpin BNkah, semuanya mengikut skrip yang disediakan oleh direktornya.

Oleh itu, kalau UMNO hendak mengambil hati rakyat, pertama jangan menekan sesiapa sahaja yang mereka fikir menentang kerajaan. Kedua, pemimpin-pemimpin UMNO perlu lebih profesional, relaks, dan jangan mudah melenting. Sebagai pemimpin kenalah berjiwa besar. Lihat DSAI, pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan kepadanya, tetapi dia "cool" ja. Orang lain yang sibuk menjawab bagi pihaknya. Rakyat pula mengaguminya. Rakyat menganggap beliau pemimpin yang berkarisma, berjwa besar. Bukan macam Najib dan pemimpin-pemimpin UMNO hari ini. Najib dan isterinya kena tuduh membunuh Altantuya, bukan main gelabah lagi beliau. Polis bertindak ganas. Rosmah dilabelkan sebagai wanita Puaka. Pelajar kena tangkap. Apa punya pemimpoin jenis macam ni. Betullah agaknya dakwaan-dakwaan iytu. Kalau tak, takkan Najib dan Rosmah melenting. Mengerahkan polis bertindak agresif.

Mengapa zaman Pak Lah BN menang besar pada tahun 2003. Kerana beliau cool. Tidak bertindak agresif terhadap seteru-seteru politiknya. Zaman ganas dan membunuh kerjaya seteru kita sudah berakhir, kena cari strategi lain. Mungkin dalam zaman Mahathir, cara begitu berjayalah kerana rakyat hanya menerima bulat-bulat apa yang disajikan dalam media arus perdana. Hari ini tidak lagi. Jika sesuatu berita sensai disiarkan dalam media, maka rakyat akan mencari kebenaran berita itu melalui media lain. Dan akhirnya nanti rakyat akan buat kesimpulan berdasarkan maklumat daripada pelbagai sumber. Rakyat hari ini sudah bijak dan kritis. Zaman hendak membuat laporan yang tidak tepat dan ada unsur manipulasi itu sudah berakhir. Ini bermakna pemimpin-pemimpin UMNO kena ingatkan juga media-media mereka. Biar laporan sahaja yang benar, supaya rakyat lebih percaya. Supaya rakyat tidak muak membaca atau mendengar. Supaya rakyat tidak menganggap media alternatif itu lebih menarik dan tepat.


Sekian wassalam.

No comments: