Thursday, March 18, 2010

Satu Malaysia Popular?


Datuk Seri Najib membandingkan Slogan 1 Malaysia dengan Malaysian Malaysian yang kononnya dijenamakan semula oleh pemimpin-pemimpin pembangkang khususnya Dap. Najib mendakwa bahawa 1 Malaysia lebih popular. Ya, memang 1 Malaysia lebih popular kerana jutaan ringgit telah digunakan untuk mempopularkan slogan itu. Hari ini kita ada klinik 1 Malaysia dan mungkin nanti akan ada restoran 1 Malaysia, sekolah 1 Malaysia, rumah 1 Malaysia, Lapangan Terbang 1 Malaysia dan sebagainya. Konsep itu pada kami tidak memberikan apa-apa makna. Saya fikir pelbagai program yang dibawa oleh Najib hanya menguntungkan kroni-kroninya. Kalau dalam zaman Pak Lah dahulu kita ada Islam hadahari. Dalam zaman Hadahari itu pelbagai program dilaksanakan tetapi program itu tenggelam dalam penggal yang kedua kerana kesilapan Pak Lah menaikkan minyak secara mendadak. Bukan sahaja rakyat biasa bahkan ahli-ahli Umno elit juga menyalahkan Pak Lah sehinggalah membawa kepada pengundurannya. Sebenarnya kesilapan itulah yang ditunggu-tunggu oleh Najib dan konco-konconya, maka berakhirlah zaman Pak Lah kerana desakan orang-orang kuat Najib.
Setelah Najib naik, seperti mana perdana menteri terdahulu, Najib cuba pula memperkenalkan pelbagai konsep dan slogan agar orang melihatnya lebih hebat berbanding Pak Lah dan lebih bijak berbanding pembangkang khususnya Anwar Ibrahim.
Tetapi sayangnya apa yang dilaung-laungkan oleh Najib itu hanya untuk menyedapkan hatinya sendiri kerana sehingga hari ini Najib masih belum mampu menyelesaikan pelbagai masalah rakyat. Kenaikan harga barang ekoran kenaikan harga minyak tetap menghantui rakyat. Gula pula sering kali tidak mencukupi. Subsidi beras yang kononnya memperuntukkkan berjuta-juta ringgit itu tidak pun sampai kepada rakyat. Rakyat yang digolongkan sebagai miskin tegar tetap tidak dapat diatasi. Kakitangan kerajaan juga mengeluh, maklumlah gaji tidak naik-naik sedangkan harga barang telah melambung tinggi. Kuasa beli mereka merosot. Malaysia yang kononnya, mempunyai fundemental ekonomi yang kukuh tidak tergugat teruk ekoran krisis ekonomi global namun realitinya, kerajaan sebenarnya mengalami krisis kewangan yang teruk. Amat jelas pelbagai peruntukan telah dipotong. Jabatan Kaji Cuaca misalnya telah dikurangkan peruntukannya tahun ini. Ekoran itu jabatan itu senyap sahaja walau pun kemarau memanjang, sepatutnya pembenihan awan dilakukan agar kepanasan ini berkurang kerana rakyat yang bekerja dibawah panas terik mentari amat terseksa. Dalam Kementerian Pelajaran pula, peruntukan Latihan Dalam Perkhidmatan telah ditarik. Pemerika-pemeriksa kertas dan pengawas-pengawas peperiksaan pula terus mengeluh kerana bayaran elaun mereka masih belum dilunaskan oleh kerajaan walaupun PMR, SPM dan STPM telah diumumkan.
Semua krisis ini akan mempopularkan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian diutamakan. Slogan itu akan polpular bukan kerana kereajaan telah berjaya menangani masalah rakyat tetapi sebaliknya masalah yang dihadapi oleh rakyat makin meruncing. Slogan itu jika Najib tidak berusaha mengerahkan segala orang bawahannnya untuk meringankan beban rakyat, dan sibuk berpolitik semata-mata, khususnya menekan pemimpin pembangkang, akan menjadi senjata makan tuan. Kita tunggulah PRU ke-13, jika pilihan raya diadakan secara adil dan telus dan tiada persempadanan semula, saya pasti bahawa UMNO dan Barisan Nasional berhadapan dengan kesukaran untuk berkuasa semula. Manakala pemimpin-pemimpin pembangkang yang menjadi katak akan menerima padah.

No comments: