Thursday, March 18, 2010

Pemasangan cctv untuk meningkatkan kewibawaan SPRM?

Pemasangan cctv di bilik siasatan SPRM tidak akan dapat mengembalikan keyakinan orang awam terhadap kewibawaan SPRM. Jika bilik siasatan dipasang cctv sekalipun, ia tidak akan memberikan jaminan bahawa pegawai-pegawai SPRM tidak akan bertindak ganas. Hal ini kerana sesetengah pegawai SPRM sudah biasa bertindak ganas dan kejam untuk mencapai matlamat golongan tertentu. Banyak cara dan kaedah untuk mengelakkan perbuatan mereka dirakam melalui cctv. Saya fikir cadangan pemasangan itu hanya untuk mengabui matas masyarakat.

Kaedah lain yang perlu dilaksanakan ialah dengan menanamkan nilai-nilai murni kepada setiap individu dalam SPRM. Nilai–nilai agama dan nilai-nilai moral mampu mengelakkan perbuatan tidak berperikemanusiaan dalam anggota SPRM. Selain itu, siasatan yang menggunakan kekerasan bukanlah isu utama, sebaliknya isu yang telah menyebabkan SPRM hilang intergriti ialah pendakwaan dan penyiasatan yang berpilih. Misalnya, jika laporan melibatkan pemimpin pemerintah maka tindakan mereka agak lembap dan mengambil masa, namun sebaliknya jika laporan tersebut ada kaitan dengan pihak yang bertentangan dengan pemerintah seperti pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat maka SPRM akan bertindak dengan cepat dan cekap. Laporan akan diketahui lebih cepat, tidak seperti kes-kes yang melibatkan pemimpin-pemimpin kerajaan. Dalam erti kata lain, kewibawaan SPRM tidak akan dipersoalkan jika mereka melaksanakan tanggungjawab mereka dengan adil dan saksama tanpa mengira anutan politik.

Namun, apa yang berlaku pada hari ini ialah SPRM diperalatkan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan untuk tujuan politik. Mereka menggunakan SPRM untuk menjatuhkan lawan mereka. Bagaimana mungkin orang awam mempercayai agensi yang mendakwa mereka berkecuali tetapi dalam masa yang sama agak ketara serta amat jelas mereka dipergunakan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan untuk menjatuhkan seteru mereka khususnya pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Nampak sangat SPRM bertindak mengikut arahan pemimpin-pemimpin politik. Bahkan bukan SPRM sahaja, PDRM, SPR, badan kehakiman dan pelbagai agensi kerajaan yang sepatutnya tidak tertakluk kepada ahli-ahli politik amat jelas begitu bias dalam segala tindak tanduk mereka. Selagi pemimpin BN dan UMNO berkuasa selagi itulah agensi-agensi ini bertindak berat sebelah. Almaklumlah, pegawai-pegawai tertinggi agensi tersebut terdiri daripada pengikut mereka.

Sekian wassalam.

No comments: