Sunday, March 7, 2010

Krisis Air Berlaku lagi?


Asalamualaikum semua.

Krisis air muncul lagi. Pasti lepas ini akan ada catuan air. Di pihak rakyat dan penduduk yang terlibat dalam krisis ini akan berjimat cermat, mereka akan menggunakan air mengikut keperluan. Di pihak kerajaan dan ahli-ahli politik pula akan mencanangkan kepada umum pelbagai langkah untuk mengatasi masalah ini. Malah ada antara perancangan tersebut yang menakjubkan. Hati kita pun rasa senang dan seronok, betapa prihatinnya kerajaan. Betapa orang-orang politik mengambil berat kebajikan rakyat.Betapa rakyat didahulukan. Tetapi bila krisis tersebut berakhir maka segala cadangan, langkah dan pelbagai idea semasa krisis tersebut hanya tinggal sekadar perancangan di atas kertas. Tiada tindakan diambil untuk menjayakannya. Akhirnya apabila krisis air terjadi lagi, maka penduduk tersebut sendirilah yang menyelesaikannya dan sekali lagi kita mendengar pelbagai rancangan diutarakan oleh pelbagai pihak. Semamangnya melahirkan idea dan perancangan memang baik tetapi ia tidak akan bermakna kalau pelaksanaannya sekadar retorik semata-mata.

Oleh kerana itu, pihak kerajaan yang memegang segala kuasa dan sumber negara harus menangani masalah air ini secara serius kerana air ialah nadi kehidupan rakyat. Kerajaan atau mana-mana pihak tidak seharusnya menuding jari dengan menyatakan bahawa musim kemarau yang menjadi punca krisis air sedangkan Malaysia menerima purata taburan hujan sebanyak 3,000 milimeter setahun. Justeru, soal menanggung kekurangan air akibat kemarau tidak harus timbul jika sejak 50 tahun lalu kerajaan yang memegang kuasa dan segala sumber negara belajar daripada pengalaman masa lalu.

Kerajaan Malaysia hari ini perlu belajar daripada kerajaan Indonesia yang menggunakan dua sistem bekalan air iaitu sistem pam dan bekalan air bawah tanah. Kalau air sungai cetek maka bekalan air bawah tanah tanah digunakan. Oleh kerana itu tidak pernah kedengaran Indonesia mengalami masalah air sejak dahulu. Kerajaan yang menerajui negara itu bertukar ganti tetapi bekalan air tidak pernah menjadi masalah.

Hari ini dapat dilihat bahawa kerajaan hanya akan mengambil tindakan atau melaksanakan sesuatu perancangan dengan cepat jika sesuatu program atau perkara itu akan menguntungkan mereka. Menguntungkan parti. Jika tidak jangan harap. Justeru, slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan hanya wujud sebagai retorik semata-mata. Wallahualam bisawab.

No comments: